Oleh: Sholina Osman
11 NOV. 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menahan tiga lelaki warga tempatan yang disyaki menjual minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan disyaki tiruan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Azman Adam
berkata, penahanan itu hasil serbuan ke atas tiga premis berasingan iaitu dua di Kuala Lumpur dan sebuah lagi di Selangor pada pukul 11 pagi, 5 November 2024.
Azman berkata, tiga lelaki berkenaan yang berumur lingkungan 30 tahun ini mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 815.
DIPAKAIKAN CAP DAGANGAN
Beliau berkata, sejumlah 3,631 unit minyak pelincir, 3,605 minyak transmisi automatik, 710 unit penyejuk radiator (radiator coolant), 190 unit penapis udara kenderaan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
“Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM396,469.00,” katanya dalam kenyataan media.
Azman berkata, operasi ini dilakukan serentak oleh anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya
hasil aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDN.
MENGEDAR MINYAK PELINCIR
“Hasil maklumat awal yang diperoleh, kesemua premis terbabit menjalankan perniagaan menjual dan mengedar minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan jenama terkenal yang disyaki tiruan,” katanya.
Azman berkata, modus operandi ketiga-tiga premis ini adalah dengan mengedar barangan terbabit untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan turut menjual secara dalam talian kepada pengguna melalui platform pasar dalam talian.
Kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
SETIAP UNIT BARANG
Jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan kepada suatu pertubuhan perbadanan tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar tersebut dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000.00.
Manakala bagi individu, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.
JUGA BOLEH DIDENDA
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.
KPDN ingin memberikan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ia kesalahan serius.
Selain itu, pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan termasuk minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan seumpama ini kerana boleh mengakibatkan kerosakan ke atas sistem enjin dan mekanikal kenderaan, selain dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan serta mengancam keselamatan pengguna itu sendiri.
Tindakan ini adalah sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR yang telah dilancarkan pada 19 Oktober 2024 bagi membanteras isu penipuan dan manipulasi barangan tiruan dalam aktiviti perniagaan. – JM