Oleh: Sholina Osman
13 NOV. 2024
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menyahut kempen Perang Terhadap Gula atau “War on sugar” dengan menyediakan air kosong pada majlis jamuan makan sama ada mesyuarat atau kursus pada peringkat jabatannya.
Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Ghazali Chik berkata, kalau adapun disediakan minuman seperti teh tetapi gula diletakkan berasingan di mana tidak dibancuh sekali seperti sebelum ini.
“Tujuannya kita mahu menggalakkan supaya yang akan minum itu nanti akan letakkan sendiri gula di mana sebaiknya adalah satu sudu, atau kurang lebih baik dan tanpa gula adalah terbaik,” katanya pada media selepas majlis Santai Petang Pengarah Kesihatan Negeri Perlis bersama Media Negeri Perlis di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar.
TAKLIMAT BERKAITAN KEMPEN
Ghazali berkata, pihaknya telahpun memberikan taklimat berkaitan kempen ini selepas mengadakan perjumpaan dengan Exco Kesihatan Negeri dan juga jabatan serta agensi di Perlis.
Beliau berkata, kempen ini diharap akan mendapat kerjasama dari jabatan dan agensi di peringkat negeri dan mahupun persekutuan di negeri ini.
“Kita akan meminta jabatan dan agensi yang mahu terlibat untuk menurunkan tandatangan sebagai tanda komitmen untuk melaksanakan kempen ini peringkat jabatan masing-masing secara sepenuhnya,” katanya.
DARI SEGI TEKNIKAL
Berikutan itu, katanya pihak JKN akan membantu dari segi teknikal kepada jabatan berkenaan bagi kemudahan pelaksanaan kempen ini.
Ghazali berkata, usaha melaksana kempen ini disifatkan sebagai satu cabaran kepada jabatannya ekoran Perlis menduduki tempat ketiga bagi pesakit diabetes.
“Minum air kosong dan minuman tanpa gula ini sebagai langkah awal bagi mengekang penyakit ini dari meningkat,” katanya. – JM