Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Ke-2 2024 di Perlis bermula

Oleh: Sholina Osman
13 NOV. 2024

Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ke-2 2024 bertemakan “Imbangan Antara Adat dan Agama” telah membuka tirainya hari ini di Kangar, Perlis.

Persidangan ini berlangsung selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 November 2024, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Persiaran Wawasan, Kangar.

MIN ini anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Perlis Centre of Wisdom (PCW) dengan kerjasama Masjid Alwi dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selaku penaja utama.

Persidangan ini menjadi wadah penting bagi para ilmuwan dan cendekiawan dari rantau Nusantara untuk berkongsi pandangan dan merungkai isu-isu berkaitan keseimbangan antara adat budaya dan agama dalam masyarakat serantau.

Sebanyak 30 peserta hadir pada persidangan kali ini yang mewakili beberapa negara di rantau Nusantara, iaitu Indonesia, Vietnam, Kemboja, dan juga Thailand.

MAJLIS SAMBUTAN RASMI

Ketibaan delegasi ke Perlis disambut meriah dengan majlis sambutan rasmi yang melambangkan semangat ukhuwah dan persahabatan antara negara-negara jiran.

Persidangan kali ini dijangka akan memaparkan pelbagai sesi pembentangan, perbincangan panel, dan bengkel, dengan tujuan merungkai cabaran serta peluang dalam memelihara adat yang diwarisi sambil menjaga kesucian dan ketulusan ajaran agama.

Topik perbincangan meliputi pelbagai aspek seperti pengaruh adat terhadap agama, isu-isu semasa dalam masyarakat, dan peranan adat dalam membentuk identiti Nusantara yang unik.

Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Kedua ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik antara negara-negara Nusantara, tetapi juga menjadi platform penting untuk bertukar pandangan dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan berwawasan.

Ia kali pertama diadakan pada Februari lalu di mana telah berlangsung dengan jayanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *