Oleh: Sholina Osman
7 NOV 2024
Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menghidupkan kembali pasar malam di kawasan ‘market lama’ Kangar sebagai “Pasar Malam Nostalgia”.
Nostalgianya kerana tapak ini pernah menjadi pasar malam terkenal di pekan Kangar sekitar tahun 1980-an.
Sekaligus kawasan ini yang sekian lama sepi di malam hari akan kembali meriah dan ceria pada setiap kali malam Rabu.
SELAMA TIGA BULAN
Yang DiPertua MPK, Affendi Rajini Khan berkata, pihaknya
yakin dengan perancangan selama tiga bulan bersama-sama peniaga, ahli MPK dan Kerajaan Negeri Perlis akhirnya secara rasmi “Pasar Malam Nostalgia” dibuka pada 6 November mulai pukul 5 petang hingga 10 malam.
Affendi bersama Exco Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil dan ahli MPK telah mengadakan “Walkabout” sempena pembukaannya.
Selain mengambil kesempatan bertemu dengan peniaga, mereka juga menghadiahkan apron bagi menampakkan keseragaman semasa pasar malam beroperasi.
Affendi berkata, pasar malam ini menyediakan 120 lot niaga melibatkan perniagaan barangan basah, barangan kering dan barangan siap masak serta minuman pelbagai jenis.
PELBAGAI KEMUDAHAN ASAS
Beliau berkata, pasar malam
ini juga dilengkapkan dengan
pelbagai kemudahan asas termasuk ruang solat, tandas awam, kemudahan pengangkutan dan sistem pencahayaan.
Katanya, sehingga kini ada 15 waris peniaga lama di tapak pasar malam ini menjalankan perniagaan.
“Jadi ia sebetulnya menjadi nostalgia kerana peniaga hari ini masih mengingati tapak di mana ayah atau waris mereka menjalankan perniagaan,” katanya.
DAPAT MENARIK PELANCONG
Selain itu katanya, dengan kedudukan di tengah pekan Kangar ini dapat menarik pelancong ke Pasar Malam Nostalgia sebagai satu lagi destinasi baharu di negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Beliau berkata, MPK juga bekerjasama dengan pihak SWCORP Perlis dan E-idaman Sdn Bhd menyediakan program “Trash To Cash” bagi menyemarakkan aktiviti kitar semula daripada terus dibuang ke tapak pelupusan.
Sekaligus katanya, ia dapat memberikan pulangan atau pendapatan tambahan kepada pengunjung dan penduduk setempat.
Sempena pembukaan pasar malam ini, tiga ahli Majlis MPK Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan iaitu Shamsulamri Hashim, Hoe Lam Hock dan Pramoot A/L Puan memberikan sumbangan beras kepada 100 golongan asnaf di kawasan ini. – JM