Oleh: Sholina Osman
8 NOV 2024
Empat staf akademik Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) ke Universitas Islam Riau (UIR), Indonesia menerusi program “Visiting Lecturer” selama lapan hari baru-baru ini.
Program pertama kali yang dianjurkan bersama antara KUIPs-UIR ini melibatkan empat staf akademik KUIPs iaitu Pemangku Dekan Fakulti Pengajian Islam, Mohammad Roshimi Abdullah, Timbalan Dekan Akademik dan Ehwal Pelajar dari Fakulti Pengajian Islam, Dr. Muhammad Muthi’ul Haqq Fatah Yasin, Pensyarah Fakulti Quran & Sunnah Prof. Madya Dr Yasir Ismail Radhi dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Dr Mohammad Dhiya’ul Hafidh Fatah Yasin.
Pensyarah yang terlibat ini ditugaskan untuk mengajar dan berkongsi ilmu pengetahuan dengan pelajar-pelajar UIR.
ASAS PENDIDIKAN ISLAM
Antara kursus yang telah disampaikan berkaitan Ibadah dan Muamalah, Asas-asas Pendidikan Islam, Tafsir dan Morfologi Lanjutan.
Selain itu pensyarah terlibat turut menyertai Seminar Antarabangsa FAI KUIPs bertemakan “Islamic Wisdom in Contemporary Contexts: Bridging Tradition and Modern Society”.
Aktiviti “Sharing Knowledge” bulanan bertajuk “Jaminan Ilahi Untuk Selamat Daripada Azab Kubur” juga diadakan dengan penglibatan semua pensyarah UIR.
PENYAMPAIAN KULIAH MAGHRIB
Dalam pada itu penyebaran ilmu turut diluaskan lagi dengan penyampaian kuliah Maghrib di masjid sekitar universiti itu.
Dr. Mohammad Dhiya’ul Hafidh menyampaikan tajuk “Sosiologi Dalam Surah al-Kahfi” di masjid al-Ittihad dan “Sifat-sifat Penuntut Ilmu” pula oleh Mohammad Roshimi di masjid al-Munawwarah UIR.
Manakala “Sunnah Sebagai Benteng Umat Akhir Zaman” pula disampaikan oleh Dr. Muhammad Muthi’ul Haqq di masjid Fastabiqul Khairat.
KERJASAMA DUA UNIVERSITI
Sementara itu dalam usaha mengeratkan hubungan kerjasama dua universiti satu perbincangan berkaitan program Mobiliti Berkredit, Dual Degree, penerbitan bersama, penganjuran seminar antarabangsa bersama dan penyelidikan bersama (Matching Grant) turut diadakan.
Sepanjang tempoh di sana mereka juga mengadakan program mempromosikan KUIPs dengan mengadakan lawatan ke Pesantren, tempat bersejarah Istana Sultan Siak (Asserayah al-Hasyimiah) dan perjumpaan bersama Tokoh Dakwah Pekanbaru & Pengasas Maahad al-Uthaymin dan Maahad al-Fauzan.
Moga program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha menyokong pembangunan pakar bidang di kedua-dua buah Universiti berkenaan serta membangunkan dan memperkasakan usaha-usaha pendidikan dan penyelidikan secara khususnya. – JM