Oleh: Sholina Osman
7 NOV. 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) pada April 2025.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Garis Panduan ini akan memberi kuasa kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
untuk memantau pengurusan kutipan dan pengagihan royalti oleh CMO bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti demi menjaga hak serta kebajikan penggiat seni dan pengguna.
“KPDN komited dalam menangani isu-isu yang membelenggu penggiat seni muzik tempatan dan akan terus memperkemaskan undang-undang hak cipta mengikut perkembangan semasa, membangunkan dasar-dasar untuk melindungi kepentingan pemilik, pencipta, pelaku dan pengguna dalam usaha memperkukuhkan ekosistem perlindungan harta intelek di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.
PARA PENGIAT SENI
Armizan hadir pada Majlis Sentuhan Kasih Madani KPDN yang melibatkan sebahagian daripada para penggiat seni yang terlibat dengan isu tunggakan bayaran royalti.
Beliau berkata, mereka yang hadir adalah sebahagian daripada para penggiat seni yang sebelum ini berdaftar di bawah Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM) sebagai CMO
untuk menguruskan kutipan dan bayaran royalti.
Katanya, pengistyharan PRISM sebagai salah satu CMO di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) telah dibatalkan pada 3 April 2019 kerana tidak lagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta 332.
“Susulan itu berbangkit isu tunggakan bayaran royalti bagi penggunaan lagu pada tahun 2018 yang kemudiannya diselia oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI),” katanya.
TERSEDIA UNTUK DIAGIHKAN
Beliau berkata, sebanyak RM2,040,846.84 hasil royalti ahli PRISM tersedia untuk diagihkan kepada 495 ahli yang layak berdasarkan penggunaan lagu pada tahun 2018.
Daripada jumlah ini katanya sebanyak RM339,058.57 baki yang masih belum dituntut oleh 164 ahli penggiat seni.
Daripada 164 penggiat seni
pula tambahnya, seramai 25 orang telah mengemukakan maklumat kepada MyIPO untuk proses tuntutan dan pembayaran royalti.
KPDN dan MyIPO menerima pelbagai aduan daripada pelbagai pihak termasuk penggiat seni, pemunya dan pengguna karya hak cipta muzik.
DISIFATKAN TERLALU RENDAH
Antaranya berkenaan agihan royalti yang disifatkan terlalu rendah, tadbir urus CMO, kadar tarif tinggi dan tidak seragam yang ditetapkan oleh CMO.
Terdapat juga syor supaya diwujudkan satu badan kutipan tunggal berbanding pelaksanaan sedia dengan kewujudan beberapa CMO.
Cadangan untuk mewujudkan semula 1CMOs turut dipertimbangkan secara teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk pandangan para penggiat seni, pemunya dan pengguna karya hak cipta muzik serta amalan antarabangsa.
Asas punca kuasa KPDN (melalui MyIPO) dalam isu royalti ini adalah Akta Hak Cipta (1987) atau dikenali sebagai Akta 332.
Di bawah Seksyen 27M akta ini, elemen pengoperasian, tatakelola dan tadbir urus (governance) pengurusan CMO boleh sentiasa diperkemas. – JM