UniMAP terus komited jayakan PPPM 2015-2025 menjelang Jubli Perak

Oleh: Sholina Osman
6 NOV. 2024

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal meraikan Jubli Perak pada Julai 2026 sekaligus mendorong universiti ini untuk sentiasa komited dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 dan seterusnya.

Naib Canselornya, Prof Datuk Ts Dr. Zaliman Sauli berkata, sejak awal penubuhan UniMAP yang kini telah meniti usia 23 tahun, Media Perlis dan Kedah telah memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu menyerlahkan keterlihatan UniMAP.

“Ternyata dalam tempoh ini dan akan datang, rakan-rakan media telah dan pastinya memberi kerjasama dalam membuat liputan program-program anjuran UniMAP dengan program terdekat ialah Istiadat Konvokesyen 19 UniMAP yang bakal berlangsung 9 hingga 12 November 2024 ini,” katanya ketika berucap pada majlis Gala Gemilang Media (GGM) 2024 di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis.

Hadir sama Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK),
Muhamad Azuan Mohamad Nasir, Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP),
Syed Azlan Sayed Hizar, Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP) dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Hafizi Rosli.

SEBAGAI TANDA PENGHARGAAN

Dalam ucapannya, Zaliman berkata, majlis pada malam ini dianjurkan khas sebagai tanda penghargaan kepada media yang telah banyak memberi publisiti.

“Ia juga sebagai medium untuk kita semua bertukar-tukar idea dalam menyediakan bahan yang bertepatan dengan keperluan media untuk disiarkan,” katanya.
 
Begitu juga mengenai publisiti terhadap bidang akademik dan penyelidikan katanya, pihak universiti memahami untuk mempromosikan hal ehwal penyelidikan dan akademik universiti ke dalam media bukan sesuatu yang mudah.

Tambahnya, ini kerana ia bergantung kepada ‘keistimewaan’ dan persaingan dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain.

UNTUK MEMBERI PANDUAN
 
“Oleh itu, menerusi Unit Perhubungan Media PKK, rakan-rakan media dialu-alukan untuk menghubungi mereka untuk memberi panduan apa yang diperlukan sekiranya memerlukan pakar rujuk dalam isu semasa negara atau memerlukan sesuatu yang menarik dan unik untuk diketengahkan oleh rakan-rakan,” ujarnya.

Sementara itu sebanyak 20 pengamal media hadir pada malam GGM 2024 yang bertemakan baju pyjamas/baju tidur.

Pelbagai hadiah menarik disediakan bagi acara cabutan bertuah.

Wartawan Portal Jendela MADANI, Sholina Osman pula menerima hadiah utama pakej pelancongan 3 hari 2 malam ke Kuching, Sarawak tajaan Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *