Modul harta intelek dimasukkan dalam kurikulum sekolah – Armizan

Oleh: Sholina Osman
6 NOV. 2024

Sebuah modul khas berkenaan harta intelek akan dibangunkan dan dimasukkan sebagai elemen rentas kurikulum (EMK) dalam kurikulum sekolah sedia ada.

Pewujudan modul ini akan memperkenalkan konsep harta intelek dengan cara yang mudah difahami oleh pelajar serta membina asas dan pemahaman kukuh bagi melahirkan generasi yang celik perlindungan harta intelek.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, modul ini adalah hasil mengukuhkan kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan harta intelek yang dimeterai antara KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

KEPADA WARGA PENDIDIK

“Modul harta intelek bukan sahaja dapat diperkenalkan kepada warga pendidik dan para pelajar sekali gus membentuk generasi yang lebih peka terhadap hak-hak harta intelek,” katanya dalam kenyataan media.

Armizan berkata, inisiatif ini adalah berkesinambungan kepada pelaksanaan program yang telah dijalankan oleh MyIPO semenjak 2013 untuk meningkatkan kesedaran hak harta intelek dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, antaranya melalui pelaksanaan pelbagai program yang menekankan pembelajaran secara santai tetapi efektif (fun learning) seperti IP Summer Camp, IP Funtastic, Program Usahawan Celik IP, Youth Celik IP, Youth Celik IP @ Campsite, IP Bridge, dan Super IDEA.

MENUNJUKKAN PERKEMBANGAN POSITIF

“Pelaksanaan program ini menunjukkan perkembangan positif apabila semenjak tahun 2011 hingga September 2024, MyIPO telah menerima sebanyak 66 permohonan pendaftaran paten dan perbaharuan utiliti serta 128 permohonan hak cipta dengan sebahagian besarnya merupakan permohonan paten yang direkodkan atas nama sekolah di bawah KPM dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM),” katanya.

Jelas Armizan, pemetraian MoU ini akan menjadi langkah tepat dalam membina kesedaran hak harta intelek sekali gus menjadi perisai perlindungan bagi kreativiti dan inovasi warga pendidikan daripada diekploitasi oleh mana-mana pihak.

Malah katanya, ia juga akan membuka peluang kepada pengkomersialan hasil daya cipta dan inovasi untuk manfaat bersama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *