Oleh: Sholina Osman
5 NOV. 2024
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menahan seorang tekong dan seorang awak-awak warga Thailand kerana disyaki menceroboh perairan negara ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, kedua warga ini ditahan bersama sebuah vesel nelayan asing (VNA) tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 3.6 batu nautika dari barat daya Kuala Perlis, Perlis, pagi semalam.
“Pencerobohan ini dikesan ketika bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis sedang melakukan rondaan OP AMAN di sekitar perairan Perlis,” katanya dalam kenyataan media.
Mohd Hashim berkata,
pasukan berkenaan ternampak sesuatu yang mencurigakan ketika menghampiri bot fiber berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, bot terbabit didapati berpengkalan di negara jiran.
ALASAN MEMPUNYAI SAUDARA
“Kedua suspek juga ketika disoal telah menggunakan alasan mempunyai saudara mara di sempadan menyebabkan mereka bebas untuk memasuki dan keluar dari negara ini,” katanya.
Katanya, seorang tekong dan seorang awak-awak warga Thailand yang berumur 43 dan 26 tahun itu disyaki sedang melakukan aktiviti memukat udang lipan.
Mohd Hashim berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1) (a) iaitu menangkap ikan dan sebagainya oleh vesel penangkapan ikan asing di perairan perikanan Malaysia tertakluk kepada subseksyen (2) iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dan Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.
SET BUBU NAGA
Mohd Hashim berkata, dalam kejadian berasingan, Zon Maritim Kuala Perlis turut merampas 20 set bubu naga di kedudukan 0.79 batu nautika dari barat pesisir pantai Kuala Sanglang, Perlis, kelmarin.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 ,Seksyen 11 (3) (c) iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Jelas beliau lagi, kesemua hasil tangkapan dan rampasan yang dianggarkan lebih RM20,000 bersama-sama dua suspek diiringi ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera. – JM