Oleh: Sholina Osman
5 NOV. 2024
Seramai 74 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia (JBPM) telah dibuang kerja atas kesalahan tata tertib dari tahun 2018 hingga Oktober 2024.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah tersebut 35 kes berkaitan dadah, 33 (tidak hadir bertugas), 2 (kongsi gelap) masing-masing seorang bagi kes rasuah dan jenayah seksual manakala dua orang lagi lain-lain kes.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak menjangka bahawa ada pengawainya yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.
Bagaimanapun katanya, tangkapan telah dilakukan oleh pihak polis dan telahpun dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dan yang terlibat telah dibuang kerja.
TIDAK AKAN BERKOMPROMI
“Kita juga tidak akan berkompromi termasuk berkaitan kes dadah sekali pun didenda tetapi tindakan dibuang kerja tetap dikenakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat JBPM bertemakan ‘Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi’ anjuran Unit Integriti JBPM bersama JBPM Perlis di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis.
Hadir sama Pengarah JBPM Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Zaidi Ma’at dan Ketua Unit Integriti JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Syed Azman Syed Ghazali.
Nor Hisham berkata, bagi tempoh lima tahun juga, Unit Integriti telah merekodkan sebanyak 273 aduan salah laku, 42 aduan skandal/seksual, 38 aduan salah guna kuasa, 30 aduan berkaitan pengurusan, 12 aduan rasuah dan 9 aduan penyelewengan.
Berhubung dengan aduan salah laku, katanya setakat ini menunjukkan trend menurun sehingga 50 peratus.
ADUAN SALAH LAKU
Katanya, aduan salah laku sehingga Oktober 2024 hanya melibatkan 17 kes.
“Jika dibandingkan dengan tahun 2023 sebanyak 41 kes dan 39 kes pada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata, Unit Integriti juga merekodkan 81 kes aduan integriti sehingga Oktober 2024.
SEBANYAK 1 KES
“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1 kes berbanding 80 kes bagi tahun 2023,” katanya.
Nor Hisham berkata, hal ini merupakan satu petunjuk positif keberkesanan “awareness” dan sistem eAduan Integriti yang telah dibangunkan dapat meningkatkan kepercayaan pengadu dan isu-isu integriti di peringkat bawah dapat disalurkan terus ke atas tanpa sebarang prejudis.
Beliau berkata, buat kali pertama juga pada tahun ini diadakan anugerah Sijil Cemerlang Integriti.
“Sebanyak 14 pegawai dipilih berdasarkan pelbagai kriteria dan penilaian yang teliti antaranya bebas dari tindakan tatatertib dan sebarang aduan, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, mendapat markah penilaian prestasi 90 ke atas, berperwatakan menarik, mesra, peramah, mudah berbincang,” katanya. – JM