Pegawai SPRM dituduh salah guna harta dengan curang

Oleh: Sholina Osman
5 NOV. 2024

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan seorang pegawainya telah dihadapkan ke Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor hari ini atas tuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.

Kenyataan media SPRM menyebut, pegawai berkenaan, Azizun Mohamad memegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya (Gred P48).

“Azizun telah didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK) di atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000.00, berkaitan dengan Op Green, iaitu operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada tahun 2019,” katanya.

SPRM SERIUS

Kesalahan tersebut didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya, Daerah Sepang, Selangor.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

SPRM mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti dan etika kerja semua pegawainya.

PEGAWAI YANG MELANGGAR

Harus ditegaskan, SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Suruhanjaya terus terpelihara.

Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.

SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *