Oleh: Sholina Osman
4 NOV. 2024
Kenderaan yang menggunakan bahan api gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan di atas jalan raya di Malaysia bermula 1 Julai 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober 2024 lalu atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
“Petronas juga akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di dalam pasaran Malaysia sebelum penamatan sepenuhnya juga mulai 1 Julai 2025,” katanya dalam kenyataan media.
Anthony berkata, bagi membantu peralihan pemilik kenderaan NGV kepada bahan api lain, pihak Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV) telah mengambil inisiatif untuk menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk kumpulan sasar yang terjejas, iaitu pemandu kenderaan teksi NGV, para pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwi bahan api NGV.
DARIPADA TIGA PAKEJ
Beliau berkata, Program Bantuan Peralihan ini terdiri daripada tiga pakej iaitu melibatkan pemandu teksi NGV yang layak di mana setiap pemandu berdaftar yang layak, bantuan dalam bentuk e-baucar sebanyak RM3,000 akan diberikan melalui aplikasi Setel secara one-off.
Beliau berkata, syarat kelayakan utama adalah pemandu teksi NGV yang mempunyai Kad Pemandu dan Permit Kenderaan yang sah dengan APAD dan aktif untuk tempoh mulai 1 Januari 2024 sehingga 30 September 2024.
Namun katanya, bagi mengelakkan perkara ini diambil kesempatan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, individu yang mendaftar sebagai pemandu teksi NGV selepas 30 September 2024 tidak akan layak untuk menerima pakej ini.
Tambahnya, pemohon yang berjaya akan mendapat pakej bantuan secara one-off ini dalam tempoh 15 ke 30 hari bekerja.
TANGKI DARIPADA KENDERAAN
Beliau menambah, pakej menanggalkan kit NGV terutamanya tangki daripada kenderaan yang telah diubah suai (dwi-bahan api), termasuk teksi NGV.
“Semua kos akan ditanggung sepenuhnya dan hanya boleh dilaksanakan di bengkel yang berdaftar sahaja,” katanyq.
Katanya, selain itu pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV menawarkan pembayaran secara one-off kepada pemilik kenderaan yang layak, berdasarkan nilai semasa kenderaan yang akan ditentukan oleh wakil penilai bebas.
“Syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis bahan api tunggal NGV yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh mulai 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2024,” katanya.
Anthony berkata, mana-mana pemilik kenderaan yang menerima tawaran ini, perlu menghantar kenderaan mereka ke Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) berlesen untuk dilupuskan dan membatalkan pendaftaran kenderaan dengan pihak JPJ. – JM