JPJ panggil semula 3,722 kereta Alza, Aruz, motosikal Honda CB350RS

Oleh: Sholina Osman
3 NOV. 2024

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula 3,722 kereta Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS keluaran 2024.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perincian pemanggilan semula ini melibatkan 2,518 kereta Perodua Alza 1500 x (CVT), 1500 H (CVT) dan 1500 AV (CVT).

“Sebanyak 1,139 melibatkan kereta Perodua Aruz 1500 X dan 1500 AV dan 65 lagi adalah motosikal Honda CB350RS,” katanya dalam kenyataan media.

Aedy Fadly berkata, kenderaan Alza dan Arus ini dipanggil kerana berkaitan dengan masalah ketinggian sasaran lampu utama tidak memenuhi peraturan spesifikasi.

SENSOR KELAJUAN RODA

Tambahnya, motosikal
Honda pula berhubung permasalahan pada sensor kelajuan roda menyebabkan sistem ABS, “traction control” dan meter had laju tidak tepat.

Beliau berkata, setiap pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing (atau pemilik kenderaan turut dibenarkan secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara).

“Untuk makluman, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd.,” katanya.

Berikutan itu, katanya, semua pemilik kenderaan model yang terlibat adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.

Maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh kunjungi mana-mana pusat jualan/ perkhidmatan Perodua dan Boon Siew Honda yang berdekatan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *