Kerajaan terus tumpu kepada pengeluaran akuakultur

Oleh: Sholina Osman
2 NOV. 2024

Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran akuakultur dan berorientasikan pasaran bagi mendapat hasil
yang lebih tinggi.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata,
dengan usaha Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memperuntukkan sebanyak RM 7.9 juta kepada penternak akuakultur pada tahun ini yang merangkumi aspek perkhidmatan, infrastruktur, teknologi, dan peralatan.

Beliau berkata, bantuan ini disasarkan kepada pengusaha kecil, sederhana dan komersil melalui sistem penyampaian khidmat sokongan akuakultur bagi membantu pengusaha akuakultur dalam mengembangkan lagi industri akuakultur melalui peningkatan produktiviti dalam ternakan dan aplikasi teknologi terkini.

DAPAT MEMPERKUKUHKAN KEDUDUKAN

“Dengan usaha yang bersepadu, saya yakin kita dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam akuakultur di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Perikanan Sedunia 2024 di Anjung Floria di Putrajaya.

Adnan berkata, KPKM melalui DOF akan sentiasa memastikan sektor perikanan mendapat perhatian lebih dengan menjadikan sektor perikanan terutamanya akuakultur antara tumpuan yang perlu dimajukan.

Beliau berkata, usaha ini penting dalam pembangunan akuakultur yang merupakan salah satu sumber makanan yang semakin penting dalam memastikan kelestarian bekalan makanan dunia, terutama di negara kita yang kaya dengan sumber air.

SATU KEPERLUAN ASAS

“Produk makanan berasaskan perikanan merupakan satu keperluan asas yang perlu diberi perhatian dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara,” katanya.

Justeru itu katanya DOF dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan negara mampu mengeluarkan bekalan makanan dalam sektor perikanan bagi menampung keperluan negara sekaligus memastikan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Dasar Sekuriti Makanan tercapai menjelang tahun 2030. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *