Oleh: Sholina Osman
2 NOV. 2024
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) buat kali pertama menganjurkan Karnival Generasi Ada Idea (GEN-AI) di tapak parkir Gravitas, Jalan Baru Prai, Pulau Pinang.
Kenyataan media MCMC menyebut bahawa karnival ini sebagai platform untuk mendekati dan memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan belia menerusi pelbagai aktiviti interaksi.
Karnival sehari ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
HAMPIR 10,000 PENGUNJUNG
Ia telah dihadiri oleh seramai hampir 10,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Inisiatif ini bagi meningkatkan kesedaran dan kepekaan belia mengenai isu-isu semasa.
Karnival ini juga menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berorientasikan kesejahteraan dan keceriaan.
SESI TEMU ANWAR
Antara yang menjadi tumpuan dalam karnival ini ialah Sesi Temu Anwar yang menyaksikan Perdana Menteri berinteraksi dengan belia.
Pelbagai soalan merangkumi isu-isu semasa termasuk keselamatan dalam talian, buli siber dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Turut diadakan, sesi perkongsian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), karnival kerjaya, sembang santai bersama artis dan pempengaruh serta konsert. – JM