Oleh: Sholina Osman
2 NOV. 2024
Sambutan Jubli Intan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjadi medan untuknya merancang dan memperkukuhkan peranan dalam analisis dan pengurusan data hingga ke peringkat terkecil.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penyalarasan data di peringkat terkecil seperti di peringkat daerah adalah untuk memastikan penyampaian kerajaan lebih cepat dan berkesan.
Beliau berkata, selain mengeluarkan data di peringkat Daerah, DOSM juga telah mengorak langkah ke arah mengeluarkan beberapa statistik utama di peringkat Dewan Undangan Negeri.
MENGALAMI SATU TRANSFORMASI
“Realitinya, DOSM kini telah mengalami satu transformasi dalam penghasilan statistik dalam tempoh tujuh dekad ini,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Jubli Intan Ke-75 Tahun DOSM di Penang International Convention Cultural & Art Centre (PICCA), Pulau Pinang.
Perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rafizi berkata, dahulu, proses penerbitan banyak dilakukan secara manual, seperti menggunakan mesin taip, dan penyebaran data dilakukan melalui buku.
“Kini, penghasilan penerbitan telah beralih kepada penggunaan komputer dan memanfaatkan sepenuhnya digitalisasi dan teknologi terkini, seperti dashboard untuk penyebaran data,” katanya.
TIDAK HANYA DIGUNAKAN
Beliau menambah, data kini tidak hanya digunakan oleh penggubal dasar, tetapi juga telah dimanfaatkan secara meluas oleh rakyat.
Rafizi berkata, kekerapan pengeluaran data telah ditingkatkan untuk memenuhi keperluan pengguna dan memastikan maklumat yang lebih tepat dan terkini.
Beliau berkata, ini membolehkan penggubalan dasar yang lebih berkesan dan responsif terhadap perubahan sosial dan ekonomi.
571 BUKU LAPORAN
“Sehingga Oktober tahun 2024, sebanyak 571 buku laporan statistik telah diterbitkan,” katanya.
Katanya, bagi tahun 2024, 180 penerbitan secara bulanan, 67 penerbitan secara suku tahunan, 99 penerbitan secara tahunan, dan 225 penerbitan ad hoc.
“Dengan perkembangan inovasi dan teknologi yang pesat hari ini, DOSM telah melengkapkan anggotanya dengan kemahiran dalam penggunaan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI),” kata Rafizi.
BERDASARKAN KEPADA METODOLOGI
Statistik yang dihasilkan oleh DOSM katahya, adalah berdasarkan kepada metodologi terkini dan mengikut piawaian di peringkat antarabangsa berpandukan kepada pelbagai manual, garis panduan dan klasifikasi yang diiktiraf oleh badan antarabangsa antaranya seperti United Nations, Organization for Economic Cooperation and Development (OECD), World Bank, International Labour Organisation (ILO) dan International Monetary Fund (IMF).
Kini katanya, DOSM mengguna pakai hampir 700 dokumen penandaarasan meliputi manual, garis panduan dan kod klasifikasi dalam penyediaan sebarang terbitan.
Selain itu katanya, anggota DOSM khususnya perangkawan diterapkan dan tertakluk kepada profesionalisme yang tinggi seperti digariskan dalam Fundamental Principles of Official Statistics, oleh United Nations (FPOS).
Rafizi berkata, prinsip-prinsip ini merangkumi aspek integriti, ketelusan, dan tanggungjawab dalam pengumpulan serta penyampaian statistik. – JM