Oleh: Sholina Osman
1 NOV. 2024
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan bermula 1 November hingga 31 Disember 2024 di seluruh negara terhadap penunggang dan pemilik motosikal.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi ini bagi memastikan pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah – Kaedah di bawahnya.
Beliau berkata, ia juga sebagai susulan daripada statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang telah direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kemalangan melibatkan motosikal sebanyak 1,908 atau 70 peratus berbanding dengan kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan media.
Selain itu Aedy Fadly berkata, tujuannya bagi mensasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ke – 3 dan ke – 4 tahun 2024.
PENGUATKUASAAN SECARA BERFOKUS
Jelasnya, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan – peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Bagi mencapai objektif keseluruhan operasi ke arah meminimumkan kadar kemalangan dan kematian, pihak JPJ akan memfokuskan kepada lapan kesalahan utama,” katanya.
Beliau berkata, ia termasuk Tiada Lesen Memandu, Tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM)/ Tamat Tempoh, Tiada Perlindungan Insurans
Melanggar Isyarat Lalu Lintas (Lampu Merah).
Selain itu katanya, kesalahan Ubahsuai Kenderaan (Extreme), Tidak Memakai Topi Keledar, Lumba Haram dan kesalahan lain (Teknikal).
“JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang/ pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya,” katanya. – JM