KUIPs sedia ambil pelajar Palestin

Oleh: Sholina Osman
31 OKT. 2024

Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bersedia menerima pelajar-pelajar dari Palestin yang berminat menyambung pengajian di sini.

Pemangku Timbalan Rektor Akademiknya, Prof Dr Basri Ibrahim berkata, ia hasil pertemuan beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif IESCO, Dr Ayman Mohammed Ateah Hussein.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya bersetuju untuk menerima pelajar dari Palestin mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Tidak menjadi masalah untuk mengambil pelajar-pelajar dari Palestin ini kerana pada dasarnya, biasiswa yang diperuntukkan merangkumi pelajar antarabangsa di kampus ini,” katanya dalam kenyataan media.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Pengarah Jabatan Canselori, Muhammad Syazuwan Ahmad dan Bendahari, Khairul Anuar Razak.

MENYAHUT SARANAN KPT

Dr Basri menambah pihak universiti ini juga menyahut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini yang mengharapkan universiti swasta supaya memberi peluang untuk pelajar dari Palestin menyambung pengajian mereka di negara ini dengan memberi pengecualian yuran.

Sementara itu dalam kenyataan media sama, Dr Ayman Mohammed berkata, pertemuan dengan pemangku Timbalan Rektor Akademik, Bendahari dan Pengarah Jabatan Canselori memberi khabar gembira.

“Ini kerana pihak KUIPs bersedia untuk menerima pelajar dari negara itu sekiranya mereka berminat,” ujarnya.

Katanya sehingga kini lebih daripada 700 pelajar dari negara itu sedang menyambung pengajian mereka di Malaysia.

MENINGKATKAN LAGI JUMLAH

Tambahnya, sekaligus dengan pertemuan ini pastinya akan dapat meningkatkan lagi jumlah pelajar mereka di negara ini.

“Perbincangan akan terus dilaksanakan dalam masa terdekat supaya peluang kepada rakyat negaranya untuk menyambung pengajian terutama dengan biasiswa Pengajian Tinggi MAIPs-KUIPs,”
katanya lagi.

Biasiswa yang ditawarkan oleh KUIPs ini tertakluk kepada kelayakan akademik yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sebagai syarat untuk menyambung pengajian mereka di negara ini.

Mereka yang berjaya menerima biasiswa tajaan sepanjang tempoh pengajian ini akan menikmati kemudahan yuran pengajian, asrama dan wang saku. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *