Oleh: Sholina Osman
31 OKT. 2024
Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis terus “memburu” individu yang dikesan melakukan penyelewengan terhadap barangan subsidi termasuk petrol.
Pengarahnya, Hasbullah Abd Rashid berkata, terbaharu dua lelaki tempatan telah diberkas dalam Ops Bersepadu oleh Pegawai Risik KPDN Perlis bersama Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian E5 pada pukul 5.25 petang pada 30 Oktober 2024.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pasukan ini telah mengekori kenderaan Malaysia yang disyaki mempunyai tangki tambahan yang diubahsuai untuk membeli minyak petrol di sekitar stesen di Kangar dan Arau.
“Hasil daripada pemantauan itu, pasukan berkenaan telah menahan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback berwarna kelabu,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, kenderaan tersebut sedang mengisi minyak di pam No.7, di Stesen Minyak Petronas Kubang Gajah, Arau, Perlis.
SEJUMLAH BAHAN CECAIR
Jelasnya, setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, pasukan berkenaan telah menjumpai sejumlah bahan cecair yang disyaki minyak Petrol di dalam tangki tambahan yang telah diubahsuai dan juga di dalam tong ‘jerrycan’.
Hasbullah berkata, kedua lelaki berkenaan juga gagal menunjukkan dokumen seperti Permit Khas.
Berikutan itu, katanya pemandu dan rakannya yang merupakan penduduk tempatan yang masing-masing berumur 31 dan 32 tahun ditahan.
Hasbullah berkata, cecair yang disyaki minyak petrol 344 liter bernilai RM705.00 (anggaran yang dijumpai dalam tangki tambahan ubahsuai dan tong ‘jerrycan’) telah dirampas.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – JM