Oleh: Sholina Osman
5 NOV. 2024
Kerjasama dua hala Malaysia dan Indonesia dijangka akan terus dipertingkatkan di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto dalam semua bidang melalui mekanisme sediada.
Antara bidang baharu yang boleh diterokai adalah tenaga boleh diperbaharui, digital dan keterjaminan makanan.
Di peringkat kerjasama ekonomi, Indonesia merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di kalangan anggota ASEAN dan ketujuh terbesar di peringkat global.
Pada tahun 2023, jumlah perdagangan Malaysia dan Indonesia melebihi USD24 billion sekaligus meletakkan negara ini sebagai pelabur kelima terbesar di Indonesia.
TELAH MEMENUHI UNDANGAN
Kunjungan di peringkat tertinggi sangat positif, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memenuhi undangan ke acara pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia yang baru pada 20 Oktober 2024 baru-baru ini.
Perdana Menteri Malaysia itu telah melakukan pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto pada 19 Oktober di mana dua pemimpin negara ini telah menzahirkan komitmen untuk meningkatkan hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin.
Kerjasama Malaysia dan Indonesia juga baik di peringkat serantau dan antarabangsa dalam isu yang mempunyai kepentingan bersama.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, sokongan dan dokongan Indonesia akan menyumbang kepada pengukuhan kerjasama serantau terutamanya dalam pembentukan Komuniti ASEAN.
BANTUAN IBNU SABIL
Demikian dipersembah maklum oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia di Jakarta, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin menerusi kenyataan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) setelah menerima sumbangan ‘Bantuan Ibnu Sabil’ berjumlah RM5,000 daripada MAIPs.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyempurnakan penyerahan sumbangan daripada MAIPs itu sempena keberangkatan Baginda ke Jakarta yang diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Berangkat sama adalah anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullaill, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Jelas Datuk Syed Mohamad Hasrin, di peringkat hubungan antara kedua masyarakat, seramai 3.1 juta pelancong Indonesia telah berkunjung ke Malaysia pada tahun lalu dan hampir 2 juta rakyat Malaysia telah bertandang ke Indonesia.
Rakyat Malaysia merupakan pelancong terbesar di Indonesia serta dinasihatkan untuk mendaftarkan diri dengan Kedutaan serta mengambil insurans yang sewajarnya.
LEBIH 67 TAHUN
Tambah beliau, hubungan diplomatik Malaysia dan Republik Indonesia telah menjangkau lebih 67 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Jalinan tali persahabatan di antara kedua negara berada pada tahap yang sangat baik di semua peringkat iaitu di peringkat kerajaan, ekonomi dan juga di kalangan masyarakat.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menerangkan bahawa Tabung Ibnu Sabil daripada MAIPs disalurkan melalui beberapa buah pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.
Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya. – JM