KPDN perluas KITA GEMPUR libatkan pelbagai pemegang taruh – Armizan

Oleh: Sholina Osman
28 OKT. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) dengan mendapatkan komitmen daripada semua pemegang Lesen Bagi Barang Kawalan Berjadual (CSA) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia termasuk semua syarikat-syarikat transporter yang dilantik sebagai pelaksana Program Pengedaran Barang Perlu.

Beliau berkata, penglibatan syarikat-syarikat transporter dalam gerakan massa ini penting untuk memastikan pergerakan bekalan barang kawalan dan bersubsidi daripada point of source (POS) pemborong/syarikat ke point of sale (POS).

DAPAT MENGURANGKAN KETIRISAN

Tambahnya, inisiatif ini dapat mengurangkan ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi seterusnya memastikan dana awam yang disalurkan melalui subsidi kerajaan akan sampai kepada golongan sasaran.

“Syarikat-syarikat transporter ini bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan mengangkut tujuh barangan kawalan dan barangan kawalan bersubsidi, iaitu beras, gula, tepung gandum, minyak masak, Liquified Petroleum Gas (LPG), petrol RON95, dan diesel,” katanya dalam kenyataan media.

Kenyataan media itu menambah, susulan daripada pelancaran KITA GEMPUR yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 19 Oktober 2024 yang lalu, KPDN akan meneruskan gerak kerja dengan melibatkan kebersamaan pelbagai pemegang taruh.

RAKAN STRATEGIK KPDN

Dalam Program KITA GEMPUR@Tawau pada 28 Oktober 2024, rakan strategik KPDN yang terdiri daripada transporter di bawah Program Pengedaran Barang Perlu, Syarikat Pembungkus Minyak Masak di bawah Program Cooking Oil Stabilization Scheme (COSS), pemborong dan peruncit utama, serta pengusaha stesen minyak di daerah Tawau telah menzahirkan komitmen melalui surat aku janji untuk terlibat dalam inisiatif KITA GEMPUR ini.

Berikutan itu seramai 99 wakil rakan strategik KPDN sekitar daerah Tawau telah memberikan komitmen, yang terdiri daripada 30 transporter, 29 pengusaha stesen minyak, 7 syarikat pembungkus minyak masak, 12 wakil pengguna setempat dan 21 pemborong dan peruncit utama di daerah Tawau.

Kenyataan media juga memaklumkan bahawa KITA GEMPUR merupakan inisiatif kerajaan melalui KPDN bertujuan untuk melibatkan semua pihak sama ada agensi kerajaan, pemain industri dan orang ramai dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi, serta mengatasi manipulasi dalam aktiviti perniagaan seperti penipuan dalam talian dan pakatan kartel. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *