Oleh: Sholina Osman
28 OKT. 2024
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bukan sekadar melahirkan pekerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal, tetapi ia juga memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran praktikal yang penting dalam menyumbang kepada produktiviti dan inovasi.
Baginda bertitah, kemahiran teori dan praktikal yang dimiliki graduan juga boleh terus digunakan dalam industri pekerjaan.
Tambah Baginda, TVET turut membuka peluang kerjaya kepada golongan muda yang mungkin tidak memilih laluan pendidikan akademik secara tradisional.
Baginda bertitah, hal ini dapat memberi lebih banyak peluang serta mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
MEMAINKAN PERANAN BESAR
“Tahniah diucapkan kepada pihak PTSS yang telah memainkan peranan besar dalam membekalkan graduan berkualiti ini,” titah Baginda sempena Majlis Konvokesyen kali ke-16 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Dewan Harumanis PTSS di Pauh Putra, Arau, Perlis.
Titah ucapan Raja Perlis dibacakan oleh Raja
Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.
KEMAHIRAN TELAH DIBERI
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, ilmu telah dicurah, kemahiran telah diberi, dan kini, menjadi tanggungjawab para graduan sekalian untuk membawa perubahan kepada negara.
“Dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di PTSS, anda bukan sahaja dilatih untuk menjadi pekerja yang mahir, tetapi juga menjadi pencipta, usahawan, dan pemimpin dalam industri masing-masing,” titah Baginda.
Tambah Baginda, graduan keluaran politeknik amnya dan PTSS khasnya adalah tulang belakang kepada kemajuan negara dalam pelbagai bidang teknikal.
Sebagai graduan TVET, beta yakin saudara saudari adalah individu yang amat berbeza dan berharga dalam dunia pekerjaan. – JM