4,000 unit Residensi MADANI akan dibina di Putrajaya – Dr. Zaliha

Oleh: Sholina Osman
28 OKT. 2024

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, 4,000 unit Residensi MADANI akan dibina di tujuh tapak yang dikenal pasti di Putrajaya.

Beliau berkata, setiap unit ini berkeluasan minimum 800 kaki per segi dengan harga jualan maksimum RM200,000.

“Pembinaan residensi ini dilaksanakan oleh tujuh pemaju yang dijangka siap menjelang tahun 2028,” katanya ketika berucap pada majlis Peluncuran Pembangunan Perumahan Residensi MADANI Putrajaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyempurna majlis ini di Tapak Projek Pembangunan Residensi Sentral Presint 7, Putrajaya.

BUKAN SAHAJA TERHAD

Zaliha berkata, permohonan residensi ini sudah dibuka di mana ia bukan sahaja terhad kepada penjawat awam, tetapi juga kepada orang awam.

“Sehingga kini, kita telah terima kira-kira 10,000 permohonan,” katanya.

Beliau berkata, permintaan kepada residensi ini agak tinggi, tapisan akan dilaksanakan dan mana yang benar-benar layak sahaja akan ditawarkan.

SASARAN UNTUK MENCAPAI

“Oleh itu, saya percaya menerusi pembangunan ini, sasaran untuk mencapai 350,000 orang penduduk di Putrajaya menjelang tahun 2050 berbanding 130,000 orang penduduk sahaja sekarang ini, akan berdikit-dikit kita capai,” katanya.

Zaliha berkata, majlis peluncuran juga diadakan berhampiran dengan Terminal Putrajaya, di mana, bakal penghuni Residensi MADANI khususnya di Residensi Sentral akan mempunyai akses kepada bukan sahaja MRT, tetapi juga KLIA Express dan Bas Nadi Putra iaitu bas yang menjadi penghubung ke setiap presint di Putrajaya.

“Ini adalah salah satu konsep yang sedang berkembang dalam urban development pada masa kini, dan kita implementasikan di Putrajaya dan Kuala Lumpur, iaitu TOD atau transit- oriented development,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *