Oleh: Sholina Osman
26 OKT. 2024
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Agensi Pembangunan dan Perdagangan Amerika Syarikat (USTDA), Suruhanjaya Pelaburan dan Perdagangan Australia (Austrade) dan British High Commission (BHC).
Kenyataan media MCMC memaklumkan kerjasama ini bersempena dengan
acara Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 yang julung kalinya
diadakan di Malaysia.
Acara yang berlangsung di Pavilion MCMC Future Healthcare Frontier ini
menandakan pencapaian signifikan dalam landskap penjagaan kesihatan negara.
Kerjasama ini bertujuan untuk menangani cabaran penjagaan kesihatan yang semakin mendesak di masa hadapan.
PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT
Ini termasuk peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan hipercholesterolemia, peningkatan populasi warga emas serta isu penjagaan kesihatan yang terhad di kawasan luar bandar.
Perkhidmatan penjagaan kesihatan juga berdepan cabaran getir kerana demografi warga emas di Malaysia dijangka hampir menyamai populasi orang muda pada tahun 2040.
Di kawasan luar bandar, infrastruktur yang tidak mencukupi dan kekurangan profesional perubatan melebarkan lagi jurang yang
telah lama wujud.
Oleh yang demikian, kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan jurang dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran maju dari Amerika Syarikat, Australia, dan United Kingdom untuk meningkatkan kualiti penyampaian penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia.
MENGEMBANGKAN SEKTOR TELEPERUBATAN
Pelancaran 5G oleh syarikat telekomunikasi membuka peluang untuk mengembangkan sektor teleperubatan dan mengintegrasikan peranti kesihatan boleh pakai, meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam transformasi
penjagaan kesihatan global dengan syarikat telekomunikasi memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan ini.
Penglibatan USTDA, Austrade, dan BHC akan mempercepat penerapan penyelesaian terkini, membawa kepakaran global untuk menggalakkan inovasi,
merangsang pertumbuhan, dan menarik pelaburan langsung asing.
Usaha ini akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terkemuka sambil memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan tempatan.
Kemasukan peneraju penjagaan kesihatan antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia pula akan memacu kemajuan tempatan dengan memperkenalkan teknologi terkini melalui penyelesaian yang inovatif.
MENGGALAKKAN HOSPITAL SWASTA
Peningkatan kepakaran ini akan menggalakkan hospital swasta untuk meningkatkan perkhidmatan mereka, sekaligus menjadikan sektor penjagaan kesihatan lebih kompetitif di masa hadapan.
MIH Megatrends 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 25 hingga 27 Oktober 2024.
Acara selama tiga hari ini dijangka menarik lebih daripada 4,000 peserta termasuk profesional kesihatan, peneraju
industri, pegawai kerajaan, pelabur, dan orang awam yang akan meneroka trend terkini yang akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan. – JM