Oleh Noraini Nordin
26 Okt 2024
(Ulasan berita )
Belanjawan 2025 sudah seminggu dibentangkan di Parlimen dan ia kini sedang peringkat perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen.
Di sebalik ada Ahli-Ahli Parlimen yang berbahas secara ilmiah dan fokus kepada intipati, tetapi malang sekali terdapat juga sebahagian yang lain hanya menumpukan isu-remeh seperti penggunaan istilah ketimbang dan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengambil gaji.
Bagi yang membuka hati dan minda secara umumnya Belanjawan 2025 adalah baik dari segi mengurangkan beban kerajaan demi memastikan ekonomi negara kukuh, menggalakkan pelaburan serta menambah bantuan untuk rakyat.
Peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion meliputi RM335 bilion untuk mengurus dan RM86 bilion bagi pembangunan adalah terbesar dalam sejarah negara berbanding tahun lepas sebanyak RM393 bilion.
Mengandungi 60 ikhtiar yang menyusuli semua penanda aras Ekonomi Madani, Belanjawan 2025 memberikan tiga tumpuan iaitu usaha untuk membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.
KESEJAHTERAAN RAKYAT
Menumpukan kepada kesejahteraan rakyat terbanyak, Perdana Menteri berkata kerajaan mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik dengan 85 peratus rakyat tidak terkesan dengannya.
Penyasaran subsidi hanya tertumpu kepada golongan 15 peratus berpendapatan teratas atau mahakaya, termasuk warga asing bagi meringankan beban kewangan kerajaan.
Selain subsidi pendidikan di sekolah berasrama penuh dan IPTA yang turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi, Anwar turut mengumumkan subsidi kesihatan akan turut dilaksanakan penyasaran yang lebih adil.
Katanya, melalui langkah penyasaran subsidi yang bertujuan untuk memperbaiki pengurusan kewangan kerajaan itu secara langsung memberi lebih keupayaan kepada kerajaan untuk memberi bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat.
“Menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan kepada RM13 bilion, ini bermakna ada rakyat di Malaysia berpendapatan kurang RM1,100 sebulan.
“STR dan SARA berjumlah RM13 bilion itu adalah penambahan daripada RM10 bilion tahun lalu yang akan memberikan manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara ini,” ujar beliau.
Anwar menjelaskan, tambahan peruntukan RM3 bilion itu membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600, berbanding RM3,700 sebelum ini.
Katanya, selain itu kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebula berkuat kuasa 1 Februari 2025.
“Di samping itu Dasar Gaji Progresif untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja yang mula dilaksana secara rintis Jun lalu juga akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun depan,” katanya lagi.
Bagi memperkasakan ekonomi negara, Belanjawan 2025 juga mengumumkan pelbagai insentif mengukuhkan pelaburan, syarikat mula niaga selain memperkasakan sektor eksport, peralihan tenaga, keterjaminan makanan, perladangan dan industri halal, begitu juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Hakikatnya, Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga dibentangkan Anwar sejak terbentuknya kerajaan madani adalah yang terbaik demi masa depan rakyat dan juga negara.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat