SSM sumbang van jenazah kepada Masjid Al-Ilmi, Sungai Berembang

Oleh: Sholina Osman
26 OKT. 2024

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyerahkan sebuah van jenazah berharga RM129,156 kepada Masjid Al-Ilmi Sungai Berembang, Simpang Empat, Arau, Perlis.

Majlis penyerahan ini berlangsung sempena Program Hijrah Minda MAIPs bagi kali ke-24 tahun 2024 yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat bagi memberikan sokongan terhadap inisiatif mulia ini.

Penyerahan van jenazah tersebut dilaksanakan oleh Pengurus SSM Negeri Perlis, Ahmad Nizam Samsoo yang menyerahkan kunci van tersebut kepada Imam Masjid Al-Ilmi, Afandi Saad baru-baru ini.

Turut mengiringi Baginda ialah Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa Dan Sastera, Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed.

MEMUDAHKAN PENGURUSAN JENAZAH

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agar van jenazah berkenaan dapat dimanfaatkan dalam memudahkan pengurusan jenazah bagi komuniti setempat, khususnya penduduk sekitar Sungai Berembang yang sering menghadapi kekangan dalam mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Semoga pihak korporat lain yang budiman disaran sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat dan berusaha bekerjasama dengan pihak MAIPs demi memberikan manfaat kepada seluruh rakyat,” titah Baginda.

Sebelum itu Raja Muda berkenaan menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM14,000 kepada 20 asnaf terpilih di Kariah Sungai Berembang.

Penyerahan van ini menjadi bukti keprihatinan SSM dan pihak istana dalam memastikan kebajikan komuniti terus dijaga dengan baik. – SM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *