Oleh: Sholina Osman
26 OKT. 2024
Polis Padang Besar bertindak memotong bekalan elektrik di dua premis di daerah ini bagi membanteras sindiket judi online haram dan loteri awam tanpa lesen.
Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah berkata, ia melibatkan sebuah premis yang terletak di Batu 1, Jalan Bukit Keteri manakala sebuah lagi di Jalan Kampung Darat, Beseri, Padang Besar.
Mohd Shokri berkata, pegawai dan anggota dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalankan Operasi Bersepadu berkenaan pada pukul 10 pagi, 25 Oktober 2024.
Beliau berkata, operasi ini sebagai tindakan tegas ke atas premis berkenaan dengan memotong bekalan elektrik.
SERBUAN KE PREMIS
“Ini kerana pihak kami telah beberapa kali melakukan sebuan ke premis berkenaan tetapi masih menjalankan aktiviti perjudian,” katanya dalam kenyataan media.
Mohd Shokri berkata, tindakan serbuan terakhir dilakukan pada 7 Oktober 2024 dan 15 Oktober 2024.
Beliau menjelaskan, tindakan ini diambil mengikut Peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau berkata, tujuan utama operasi tersebut adalah untuk menghalang premis-premis tersebut dari terus menjalankan sebarang aktiviti perjudian.
PREMIS TERSEBUT DITUTUP
Mohd Shokri berkata, semasa operasi ini dijalankan, pintu premis tersebut ditutup dan tiada aktiviti perjudian berlangsung.
Ketua Polis Daerah Padang Besar menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan daerah ini bebas dari masalah sosial yang disebabkan oleh aktiviti tidak bermoral serta kekal aman.
Pemantauan berterusan akan dijalankan dan tindakan sama akan turut diambil sekiranya sindiket judi masih berdegil.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah yang berlaku boleh disalurkan kepada IPD Padang Besar di talian hotline +60 4942222. – JM