KPDN Perlis patahkan cubaan seludup 300 liter petrol guna kenderaan diubahsuai tangki tambahan

Oleh: Sholina Osman
24 OKT. 2024

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup petrol bersubsidi sebanyak 300 liter ke negara jiran, Thailand.

Pengarahnya, Hasbullah Abd Rashid berkata, lelaki berusia 29 tahun ini dikesan berulang kali mengisi petrol di stesen minyak di sekitar Beseri dan Kangar.

Berikutan itu katanya, pengusaha stesen minyak yang mengesyaki perbuatan lelaki itu berkaitan dengan penyelewengan minyak telah membuat laporan kepada pejabat KPDN.

“Enam Pegawai Penguatkuasa Pejabat KPDN telah melakukan operasi pada pukul 8 malam pada 23 Oktober 2024 setelah melakukan risikan selama dua minggu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Tanjung Gorah, Kangar.

PENGUBAHSUAIAN TANGKI MINYAK

Hasbullah berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan berlaku pengubahsuaian tangki minyak di bahagian but dan tempat duduk belakang.

Beliau berkata, di dalam tangki tambahan itu berisi cecair yang dipercayai minyak petrol yang
dianggarkan 300 liter bernilai RM615 telah dirampas.

Katanya, selain itu kenderaan berkenaan juga telah disita dengan nilai RM8, 315.

Tambahnya, jumlah keseluruhan hasil rampasan dari operasi ini berjumlah RM8, 930.

KESI INI DISIASAT

Hasbullah berkata, kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, dipercayai sindiket ini akan meletakkan petrol di setor-setor haram berdekatan sempadan untuk dikumpul sebelum dihantar ke negara jiran.

Tambahnya dengan upah lumayan iaitu RM100 bagi setiap “trip” telah menjadikan bahan subsidi ini menjadi sasaran untuk diseludup.

Bagaimanapun kata Hasbullah KPDN akan terus komited membanteras sebarang kegiatan penyelewengan melibatkan barang bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat negara ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *