Oleh: Sholina Osman
23 OKT. 2024
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada tokoh intelek Islam, Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Turut hadir menyaksikan majlis watikah pelantikan itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Kenyataan media Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, Syed Muhammad Naquib, 93, adalah Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Istana Negara.
MENDAPAT PENDIDIKAN AWAL
Beliau telah mendapat pendidikan awal di English College Johor Bahru yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar pada tahun 1946.
Selepas itu beliau meneruskan pendidikan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1957 sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah pada tahun 1960 di University McGill, Kanada dan seterusnya di University of London, United Kingdom pada tahun 1963.
Pengurniaan pelantikan Profesor Diraja kepada Syed Muhammad Naquib adalah bagi mengiktiraf sumbangan beliau yang merupakan seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara.
Beliau turut memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang telah diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.
UNTUK MENGASASKAN ISTAC
Gagasan ini telah mendorong Syed Muhammad Naquib untuk mengasaskan ISTAC pada tahun 1987 yang berperanan sebagai sebuah institusi Islam dalam melahirkan sarjana dan ilmuwan Islam terkemuka di seluruh dunia.
ISTAC adalah merupakan warisan intelektual dan pusat rujukan yang memiliki koleksi manuskrip, jurnal, monograf dan bahan-bahan rujukan eksklusif terutama mengenai tamadun dunia.
Syed Muhammad Naquib adalah merupakan antara tokoh penting bagi penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah menyumbang dalam merencana dasar, falsafah dan logo universiti dengan moto Zidni Ilman (tambahkan kepadaku ilmu) pada tahun 1970.
Kini, UKM adalah merupakan salah sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia yang telah melahirkan modal insan terpelajar di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
INDIVIDU YANG BERTANGGUNGJAWAB
Selain itu, Syed Muhammad Naquib juga adalah merupakan individu yang bertanggungjawab membuat pembentangan mengenai konseptualisasi universiti Islam di Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada tahun 1977 yang telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.
Pelantikan Syed Muhammad Naquib sebagai Profesor Diraja ini adalah merupakan pelantikan kali kedua selepas pelantikan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada tahun 1978.
Kementerian ini ingin mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja terhadap pengurniaan pelantikan Profesor Diraja kepada Syed Muhammad Naquib.
Semoga pengurniaan ini menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh rakyat terutama ahli akademik Malaysia dalam merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara seterusnya menyumbang bakti ke arah memartabatkan budaya ilmu di Malaysia. – JM