Oleh: Sholina Osman
24 OKT. 2024
Seorang individu kontroversi dikenali ‘Adeline Chang’ telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada 24 Oktober 2024 atas satu pertuduhan memuat naik kandungan gambar seorang kanak-kanak berserta kapsyen yang jelik sifatnya.
Dalam kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, individu ini dengan nama sebenar Chang Pei Yi, 24 tahun, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook (FB) melalui akaun ”Adeline Chang” secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komen dalam Bahasa Mandarin yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati dan menganiayai orang lain.
HUKUMAN DENDA MAKSIMUM
Pendakwaan dilakukan susulan siasatan yang dijalankan ke atas akaun FB ‘Adeline Chang’ di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000.
BOLEH DIKENAKAN PENJARA
Sekiranya bayaran gagal dilangsaikan, tertuduh boleh dikenakan penjara selama enam bulan.
MCMC mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan, terutamanya yang melibatkan kanak- kanak.
MCMC akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat dalam salah laku terhadap kanak-kanak. – JM