KPDN serbu premis tular sorok minyak masak peket

Oleh: Sholina Osman
25 OKT. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan segera ke atas video yang tular di media sosial berkaitan seorang peniaga yang didakwa menyorok bekalan minyak masak paket 1kg dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Azman Adam berkata, serbuan telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN Selangor ke atas premis terbabit yang beroperasi di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, Selangor pada 21 Oktober 2024.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, premis terbabit menjual barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) selain barangan runcit lain,” katanya dalam kenyataan media.

Azman berkata, premis ini juga tidak mempunyai lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

MINYAK MASAK BERSUBSIDI

Hasil pemeriksaan lanjut katanya, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 84kg minyak masak bersubsidi paket 1kg, 7 botol minyak masak botol 2kg, 8 tong gas petroleum cecair (LPG) 14 kg dan 24 kg gula putih bertapis kasar selain beberapa dokumen perniagaan lain seperti invois jualan dan belian barang- barang kawalan terbabit.

“Pasukan serbuan telah bertindak menyita kesemua barangan terbabit dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM630.90,” katanya.

Azman berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti pembekal barang-barang kawalan premis berkenaan serta rantaian pengedarannya.

SENTIASA MEMATUHI PERUNDANGAN

KPDN memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurus niaga dengan barang-barang kawalan berjadual agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa termasuk mendapatkan lesen borong/runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta 122 serta tidak menyimpan/menyorok bekalan barangan terbabit.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda seperti berikut:
i. Individu: didenda tidak melebihi RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.

ii. Syarikat: didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta). Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 23 Oktober 2024 bagi komoditi minyak masak, sebanyak 386 kes telah dihasilkan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 512,109kg minyak masak bernilai RM2.79 juta telah berjaya dirampas.

TELAH MELANCARKAN INISIATIF

Terbaharu, KPDN juga telah melancarkan inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR).

Inisiatif yang dikenali sebagai KITA GEMPUR adalah satu langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

Tindakan kes ini merupakan hasil daripada inisiatif KITA GEMPUR yang telah mula digerakkan di seluruh negara bermula 19 Oktober 2024. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *