Oleh: Sholina Osman
22 OKT. 2024
Menu Kurma Daging dan Kurma Ayam Perlis buat pertama kali akan menjadi menu di Restoran Meet Bros (By Me’nate & Jibby & Co.) di 29-31 Craven Road, London W2 3BX, United Kingdom.
Kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis memaklumkan bahawa dua masakan signatur dari Perlis ini akan dimasukkan dalam menu di restoran berkenaan selama sebulan mulai 1 November 2024.
Ia juga dilancarkan sebagai usaha untuk menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan melancarkannya sempena Promosi Masakan Perlis di restoran berkenaan.
MAJLIS YANG DIHOSKAN
Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke majlis yang dihoskan oleh pihak restoran tersebut telah disambut oleh wakil Pengarahnya, Jalani Abdul Ghani dan Pengurus, Yusri Othman.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah berangkat ke London bagi menerima undangan melawat Siemens Mobility di Chippenham yang telah memeterai perjanjian persefahaman dengan pihak DMIA di Innotrans Berlin 2024 sebelum ini.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakri Jaafar yang menghadiri majlis tersebut turut berkongsi mengenai perkembangan sektor pelancongan.
Beliau berkata, sehingga Julai 2024 seramai 208,189 pelancong dari United Kingdom (UK) telah masuk ke Malaysia.
“Sepanjang 2023 yang lalu, seramai 156,000 pelancong dari Malaysia melawat UK,” katanya.
Tambah beliau, data UK menunjukkan terdapat lebih kurang 70,000 rakyat Malaysia menetap di negara ini, termasuk 12,000 orang pelajar. – JM