Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyambut baik Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menetapkan rangka kerja pemikiran ke hadapan
untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, menangani ketidaksamaan
dan memacu inovasi.
Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, tumpuan Belanjawan
2025 terhadap sektor kritikal seperti teknologi, tenaga hijau dan infrastruktur adalah sejajar
dengan Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2024-2030 sebagai peneraju dalam industri bernilai tinggi, terutamanya dalam sektor semikonduktor, tenaga dan teknologi pertanian.
PEMBANGUNAN EKOSISTEM PERNIAGAAN
Beliau berkata, sebagai pemacu utama bagi memudahkan pelaburan dan memastikan pembangunan ekosistem perniagaan yang komprehensif, NCIA teruja dengan fokus belanjawan terhadap pembangunan bakat.
“Melalui inisiatif Advanced Technology Manufacturing and Packaging (ATMP) kami di bawah NCER Technology Innovation Centre (NTIC), komited untuk menyokong peningkatan kemahiran dalam industri teknologi tinggi,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, usaha ini, yang difasilitasi melalui kerjasama industri-akademik, akan memastikan
tenaga kerja pihaknya dilengkapi dengan kepakaran termaju dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi mampan.
PEKERJAAN BERPENDAPATAN TINGGI
Tambahnya, inisiatif ini adalah penting dalam menyediakan NCER untuk pekerjaan berpendapatan tinggi dan industri masa depan yang dibayangkan dalam Belanjawan 2025.
Mohamad Haris berkata, Centre of Excellence (COE) di bawah NTIC memainkan peranan penting dalam pembangunan keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dengan memperkasakan mereka untuk diintegrasikan ke dalam rantaian bekalan sektor bernilai tinggi.
Katanya, ini penting untuk mewujudkan ekosistem bernilai tinggi dan pertumbuhan tinggi yang teguh yang menyokong inovasi serta pembangunan ekonomi mampan di seluruh NCER.
“NCIA juga mengalu-alukan pengenalan Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu (NIIF), yang memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi dan limpahan ekonomi kepada negara,” katanya.
NILAI YANG BERBEZA
Selain itu katanya, penubuhan Kluster Ekonomi yang disesuaikan dengan
cadangan nilai yang berbeza bagi setiap negeri, termasuk tenaga boleh diperbaharui di Perlis dan Sabah dan industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu, akan
memacu pertumbuhan di peringkat wilayah.
“Insentif cukai berdasarkan limpahan ekonomi, yang diperkenalkan merentasi 21
sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan
Sarawak, merupakan langkah penting ke arah menarik lebih banyak pelaburan dan
menggalakkan pembangunan wilayah yang saksama terutamanya di Kawasan
Kurang Membangun (LDA),” tambahnya.
Selain itu beliau berkata, NCIA juga mengalu-alukan inisiatif infrastruktur utama, termasuk Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua di Pulau Pinang, yang dikenal pasti di bawah Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP) 2030.
KESESAKAN LALU LINTAS
Katanya, projek ini penting untuk
mengurangkan kesesakan lalu lintas di Seberang Perai, menggalakkan pembangunan sosio-ekonomi yang dipertingkatkan bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di Kedah dan Perak.
Selain itu katahya, penubuhan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak Utara akan memberi impak sosio-ekonomi yang transformatif di seluruh wilayah,
memberi manfaat kepada bahagian selatan Kedah dan Pulau Pinang.
“NCIA komited untuk memudahkan pelaburan hijau di KIGIP dengan memupuk ekosistem perindustrian yang kukuh berpaksikan bakat dan inovasi melalui inisiatif NTIC kami,” katanya.
EKONOMI YANG SAKSAMA
Beliau menambah, komitmen Belanjawan 2025 terhadap ekuiti serantau dan pengagihan manfaat ekonomi yang saksama di semua negeri NCER sangat bergema dengan misi NCIA
untuk meningkatkan komuniti di seluruh Wilayah Utara.
“NCIA tetap berdedikasi
untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta rakan
kongsi sektor swasta untuk memacu inisiatif yang akan memastikan NCER menjadi
hab yang berkembang maju untuk inovasi dan pertumbuhan yang mampan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu katanya, usaha melancarkan projek yang meningkatkan ekonomi tempatan dan meningkatkan pendapatan komuniti, NCIA terus komited terhadap aspirasi Malaysia MADANI untuk menjadi negara yang berdaya tahan, inklusif dan berpendapatan tinggi. – JM