Oleh: Sholina Osman
21 OKT. 2024
Agrobank telah menyumbangkan dana kewangan sosial Islam melalui Program Hijrah Asnaf Tanaman Kelapa bernilai RM1,077,100 di Hutan Simpan Mata Ayer Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.
Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta komuniti setempat Felcra Lubuk Sireh.
Upacara perasmian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badlishah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi.
Turut hadir CEO MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
USAHA BERTERUSAN MEMPERKASAKAN
Dalam ucapan perasmian, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah supaya dilakukan usaha berterusan memperkasakan golongan asnaf di mana bukan hanya dengan bantuan material tetapi peluang untuk golongan ini membina masa depan yang lebih cerah melalui aktiviti peningkatan ekonomi dan keusahawanan.
Baginda bertitah, dengan program seumpama merupakan salah satu contoh yang baik
bagaimana institusi-institusi korporat seperti Agrobank dan masyarakat dapat berganding bahu dalam memajukan agenda kebajikan dan pembangunan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.
Tuanku Syed Faizuddin Putra percaya dengan pengalaman dan infrastruktur yang Agrobank ada, mereka akan dapat melaksanakan program ini dengan jayanya.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penanaman sepohon kelapa dan menyaksikan simbolik sumbangan dana Zakat dari Agrobank kepada salah seorang wakil daripada 10 penerima asnaf yang terpilih.
ZAKAT SECARA INOVATIF
Baginda menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Agrobank kerana berjaya menguruskan pengagihan zakat secara inovatif melalui pelaksanaan program-program pembangunan usahawan secara berstruktur dan berimpak tinggi.
Terdahulu, turut dilaksanakan agihan bantuan MAIPs Peduli berjumlah RM114,100 kepada 163 keluarga asnaf dari Kariah Felcra Lubuk Sireh dan Kampung Cantik dengan tambahan Sumbangan Bakul Makanan oleh Agrobank kepada semua penerima serta RM1,000 dari masjid tersebut juga dari Agrobank.
Tuanku Yang DiPertua MAIPs itu juga menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada Samsiah Mat Akib, 92 dari Kampung Lubuk Sireh, Che Ngah Ahmad, 84 dan Mustaffa L. Abdullah juga dari kampung yang sama merupakan asnaf terpilih pada kali ini yang menerima sumbangan wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah.
Baginda turut berkenan untuk menyampaikan sumbangan wang tunai daripada MAIPs kepada 80 anak Kariah Felcra Lubuk Sirih dan 80 orang lagi anak kariah Kampung cantik bagi menampung keperluan harian golongan yang kurang bernasib baik ini. – JM