Oleh: Sholina Osman
21 OKT. 2024
Sejumlah 1 tan daun ketum bernilai kira-kira RM50,000 nyaris diseludup melalui jalan laut ke negara jiran, Thailand.
Bagaimana dengan tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis cubaan seludup ketum pada kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang, Perlis sekitar pukul 1.20 pagi, 20 Oktober 2024
berjaya ditumpaskan.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, operasi kali ini oleh Unit Risikan Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dan bot Perkasa 1227 telah berjaya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran.
Beliau berkata, bot berkenaan disyaki dikendalikan dua orang suspek yang sedang bergerak keluar dari Kuala Sanglang, Perlis menuju ke arah sempadan Thailand dalam keadaan gelap dan mencurigakan.
BERTINDAK MENGEMUDI BOT
“Kedua-dua suspek yang menyedari telah dikesan ini terus bertindak mengemudi bot secara berbahaya,” katanya pada sidang media di pejabat Zon Maritim Kuala Perlis.
Beliau berkata, keduanya melarikan diri serta meninggalkan bot berkenaan di jeti berhampiran.
Mohd Hashim berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut telah menemukan 150 bungkusan plastik berwarna hitam yang dianggarkan setiap bungkusan itu seberat 10 kilogram yang disyaki daun ketum.
MENYEMBUNYIKAN BUNGKUSAN KETUM
Katanya, Modus Operandi penyeludup ialah mengubahsuai bahagian dalaman bot untuk menyembunyikan bungkusan ketum daripada dikesan oleh penguat kuasa yang akan menjalankan penggeledahan.
Beliau berkata, dipercayai bekalan daun ketum berkenaan diperoleh dari negeri Kedah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali atau membenar dikendalikan di perairan Perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan dengan melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel.
RAMPASAN DIANGGARKAN BERNILAI
Kesemua hasil tangkapan dan rampasan dianggarkan bernilai sekitar RM100,000 itu dibawa masuk ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 dan 04-9851162 serta talian kecemasan 999. – JM