YBR peruntuk RM100,000 kepada UniMAP tingkat fasiliti pembelajaran anak autistik

Oleh: Sholina Osman
20 OKT. 2024

Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meningkatkan fasiliti pembelajaran anak-anak autistik di Perlis melalui pelaksanaan projek menaik taraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di universiti berkenaan.

YBR dalam kenyataan media menyebut projek pembangunan fasiliti terapi di Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) di Aras Dua, Bangunan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di universiti itu ialah kemudahan terapi yang berkonsepkan ekosistem dan persekitaran kehidupan seharian dilalui
anak-anak autistik dan berkeperluan khas.

“Berteraskan pendidikan yang lebih inklusif kepada golongan yang memerlukan, YBR dengan kerjasama A-HEART UniMAP dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) telah menaik taraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART dalam meningkatkan kesejahteraan golongan autisme dengan bertemakan Sejahtera & Lestari.

KERJASAMA DENGAN YBR

“A-HEART telah memulakan perancangan pembangunan Open Gym sejak September 2023 melalui kerjasama dengan YBR dan Pusat Terapi Senze for Mindz di Kangar,” katanya.

Inisiatif ini meliputi pemilihan peralatan terapi bersesuaian dengan keperluan anak autistik dan anak-anak berkeperluan khas.

Sementara itu Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan merasmikan Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di UniMAP.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro-Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

PENYEDIAAN PEMBANGUNAN FASILITI

Dalam kenyataan media yang sama, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, penyediaan pembangunan fasiliti yang baik ialah sebahagian daripada hasrat YBR untuk memastikan anak-anak autistik dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat serta membantu mengembangkan potensi dalam kalangan kanak-kanak istimewa.

“Selain itu, fasiliti yang dibangunkan di Open Gym ini boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa atau penjaga untuk membantu anak-anak autistik meneroka dan meningkatkan keupayaan deria, kognitif dan pergerakan motor atau fizikal.

“Diharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak terutamanya ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan
mereka lebih berdaya saing serta memotivasikan mereka untuk mengikuti sesi pembelajaran yang sempurna dan selesa,” katanya.

Syaiful Rizal berkata YBR telah memperuntukkan sebanyak RM13.4 juta melalui inisiatif Program Pembangunan Pendidikan bagi 2024. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *