Oleh: Sholina Osman
20 OKT. 2024
Kementerian Komunikasi menyambut baik
pengumuman Belanjawan 2025 yang merupakan kesinambungan kepada ikhtiar Kerajaan MADANI untuk memperkasa ekonomi dan mengangkat martabat rakyat.
Mengikut kenyataan media Kementerian Komunikasi, Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion merangkumi tiga tumpuan utama iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.
Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi telah diperuntukkan sebanyak RM2.55 bilion (angka penuh: RM2,554,354,700) bagi memperkasa jaringan dan
infrastruktur telekomunikasi serta komunikasi sosial, memperkukuh masyarakat dengan maklumat yang tepat dan sahih menerusi kandungan kreatif, penerangan dan
penyiaran yang berintegriti.
BAGI MEMPERKASA FUNGSI
Sebanyak RM100 juta disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC) untuk lima tahun bagi memperkasa fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi meningkatkan pendapatan rakyat melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.
Menerusi MCMC juga, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke sekolah-sekolah luar bandar
dan RM120 juta kepada universiti awam, sekolah, kem tentera serta institusi Majlis
Amanah Rakyat (MARA) untuk capaian Internet yang lebih meluas.
Projek Point of Presence (PoP) sedia ada pula dilanjutkan dengan peruntukan lebih
RM800 juta agar kemudahan Internet pantas dinikmati berterusan.
Industri seni kreatif negara terus diberikan keutamaan melalui peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang sebelum ini dikenali sebagai Dana Kandungan Digital (DKD).
MEMPROMOSI KARYA-KARYA
Peruntukan dinaikkan kepada RM65 juta bagi mempromosi karya-karya berteraskan semangat kenegaraan.
Sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada MyCreative Ventures (MyCV) melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan pembiayaan untuk usahawan
sosial kreatif.
Kerajaan terus menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia dengan
peruntukan hampir RM40 juta di bawah Insentif Penerbitan Filem Malaysia (FIMI).
Selain itu, untuk menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang seni, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi Program Belia Kreatif MADANI merangkumi bengkel
kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek yang akan memanfaatkan 16,000 belia.
Belanjawan ini juga memastikan sistem penambahbaikan perkhidmatan Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) untuk memenuhi keperluan pemanggil Orang Kurang Upaya (OKU).
Kementerian Komunikasi memberi keutamaan kepada pelaksanaan pelbagai program
dan inisiatif sebagaimana diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 tercapai demi
peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat. – JM