JPJ tawar bidaan NPI Siri MADANI bermula RM100

Oleh: Sholina Osman
20 OKT. 2024

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menawarkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI dengan harga minimum bermula RM100 bagi menyemarakkan lagi semangat dan penghayatan Malaysia MADANI melalui nombor pendaftaran kenderaan masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, NPI Siri MADANI telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diserahkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook semasa Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, NPI Siri MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong agenda MADANI Malaysia secara tidak langsung mempromosikan nilai madani yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara dalam setiap langkah kehidupan rakyat Malaysia.

“Tawaran bidaan NPI Siri MADANI telah dibuka bermula 19 Oktober 2024 dan akan ditutup 23 Oktober 2024, pukul 10.00 malam melalui Sistem JPJeBid,” katanya dalam kenyataan media.

YANG BERJAYA DIBIDA

Aedy Fadly berkata, keputusan
bidaan NPI Siri MADANI akan dikeluarkan pada 24 Oktober 2024 dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

Beliau berkata, kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada Terma dan Syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.

Jelas beliau, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan.

Katanya, bagi kategori Nombor Utama di mana Harga Bidaan Minima bermula dari RM20,000.

HARGA BIDAAN MINIMA

Tambahnya, Nombor Premium pula Harga Bidaan Minima bermula dari RM5,000, Nombor Menarik pula Harga Bidaan Minima bermula RM2,500.

Selain itu katanya, bagi kategori Nombor Popular pula Harga Bidaan Minima bermula RM500 dan Nombor Semasa pula Harga Bidaan Minima bermula RM100.

Beliau berkata, hasil penjualan NPI ini juga merupakan salah satu langkah untuk merealisasikan hasrat Kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) seperti Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, FlySISWA, Pembayaran PERKESO kepada pemandu teksi dan pelbagai inisiatif yang lain.

Sehubungan itu katanya, orang awam dialu-alukan untuk bersama-sama menyokong hasrat Kerajaan melalui penyertaan bidaan NPI dan seterusnya pemilikan nombor pendaftaran kenderaan Siri MADANI. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *