Oleh: Sholina Osman
20 OKT. 2024
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaburan yang dimulakan sejak anak-anak masih kecil memberi peluang mereka melanjutkan pengajian tanpa beban kewangan.
Baginda bertitah, sekaligus ia mampu mengurangkan kadar kebertangungan terhadap pinjaman pendidikan pada masa akan datang.
Titah Baginda, para pelabur juga digalakkan untuk mula melabur pada usia yang muda.
LEBIH BANYAK FAEDAH
“Lebih awal kita mula melabur, lebih banyak faedah yang kita peroleh daripada pengkompaunan,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian semasa merasmikan Karnival Saham Perlis bersama Bursa Malaysia 2024 bertemakan ‘Labur Hari Ini Untuk Masa Hadapan Yang Mampan’ di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra, Arau, Perlis.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro-Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.
PELABUR BERASA REALISTIK
Baginda bertitah, kesedaran pelaburan dalam kalangan masyarakat khususnya rakyat di negeri ini mestilah ditingkatkan agar para pelabur berasa realistik untuk menyokong agenda pelaburan rakyat.
“Beta turut berharap agar impak penganjuran Karnival Saham Perlis 2024 ini dapat menjana peluang di negeri ini dalam hal ehwal pengurusan kewangan dan pengurusan risiko berkaitan tatakelola kewangan,” titah Baginda.
Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bursa Malaysia dan UniMAP yang sekali lagi bekerjasama dalam penganjuran karnival ini.
Baginda berharap program seumpama ini akan terus berjaya dan memberi manfaat untuk semua pengunjung. – JM