Oleh: Sholina Osman
19 OKT. 2024
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 menyifatkan peruntukan RM320 juta bagi peningkatan capaian Internet akan mampu menganjak produktiviti institusi pendidikan serta taraf hidup rakyat.
Kenyataan media MCMC juga menyebut dengan peruntukan RM120 juta ini bagi penambahbaikan liputan Internet di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Ia disasar agar dapat membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan lebih berkesan.
“Begitu juga peruntukan RM100 juta di bawah Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar akan membantu meningkatkan capaian Internet di sekolah desa dan pedalaman seluruh negara,” katanya.
TEMPOH LIMA TAHUN
Selain itu, MCMC turut mengalu-alukan peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
MCMC yakin peruntukan itu dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan dalam talian seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital.
Pada masa yang sama, MCMC percaya dengan rangkaian kedua 5G yang bakal diumumkan kelak akan berupaya meningkatkan daya saing industri tempatan sekali gus membolehkan mereka bersaing ke peringkat yang lebih tinggi
“MCMC komited untuk merealisasikan hasrat Kerajaan dalam memastikan capaian Internet yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – JM