Polis Padang Besar berkas seorang tekong warga tempatan, lapan PATI

Oleh: Sholina Osman
22 OKT. 2024

Seorang tekong warga tempatan ditahan ketika membawa lapan lelaki Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Jalan Kangar – Padang Besar berhampiran Bukit Manik, Padang Besar pada pukul 2.20 pagi, 21 Oktober 2024.

Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah berkata, kesemua suspek telah ditahan oleh dua anggota dari Cawangan MPV Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar semasa menjalankan rondaan khas.

Mohd Shokri berkata, sebelum itu kedua anggota itu melihat keadaan mencurigakan pada sebuah kereta jenis Proton Saga BLM warna silver lalu mengekorinya sebelum bertindak menahan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kesemua PATI didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah memasuki Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

SEPEKET PLASTIK LUTSINAR

Mohd Shokri berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki warga tempatan berusia 24 itu juga telah ditemui sepeket plastik lutsinar berisi ketulan/hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu (anggaran berat 0.45 gram) di dalam beg silang warna hitam miliknya.

Beliau berkata, suspek dan kesemua PATI berkenaan kemudiannya dibawa ke IPD Padang Besar bagi siasatan lanjut.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati lelaki warga tempatan berkenaan mengaku sebagai tekong.

Mohd Shokri berkata, tekong berkenaan mengaku telah mendapat arahan daripada satu ejen tempatan untuk mengambil kesemua PATI itu di kawasan Ladang Kenaf, Padang Besar.

TIGA REKOD LAMPAU

Katanya, suspek juga didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Tambahnya, ujian saringan awal dijalankan juga mendapati positif dadah jenis methamphetamin.

Beliau berkata, suspek selaku tekong direman selama 28 hari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) mulai 21 Oktober 2024 hingga 17 November 2024.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (Akta 670) di mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda.

MELALUI JALAN TIKUS

Mohd Shokri berkata, kesemua PATI berkenaan yang berusia dari 20 hingga 38 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan tikus di pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, tujuan utama kesemua PATI itu masuk ke Malaysia untuk bekerja di beberapa lokasi berlainan.

Beliau berkata, kesemua PATI direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen mulai 21 Oktober 2024 hingga 3 November 2024.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di mana jika disabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *