Oleh: Sholina Osman
22 OKT. 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas 14 buah premis berasingan di sembilan buah negeri kerana disyaki menjual pelbagai jenis aksesori telefon bimbit disyaki tiruan pada minggu lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan ke atas premis itu melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.
“Operasi yang dilakukan secara bersepadu oleh anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama pejabat KPDN Negeri yang berkaitan adalah hasil aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDN,” katanya dalam kenyataan media.
Azman berkata, hasil maklumat awal yang diperolehi, kesemua premis terbabit disyaki membekalkan aksesori telefon bimbit tiruan dengan berselindung di sebalik syarikat yang membekalkan aksesori telefon asli, melibatkan pemilikan oleh syarikat yang sama di seluruh negara.
DIPAKAIKAN CAP DAGANGAN
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pegawai penguat kuasa telah menemukan sejumlah 2,600 unit pelbagai jenis aksesori telefon bimbit yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
Katanya, kesemua aksesori telefon bimbit tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM65,000.00.
Beliau memberitahu, sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
BOLEH DIKENAKAN DENDA
Katanya, jika disabitkan kesalahan berkaitan pemakaian cap dagang secara salah, suatu pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, atau RM30,000.00 bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya.
Tambahnya, manakala bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya dan didenda tidak melebihi RM20,000.00 bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu katanya, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.
JUGA BOLEH DIDENDA
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.
KPDN ingin memberikan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ianya merupakan suatu kesalahan yang serius.
Selain itu, pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara serta dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna itu sendiri. – JM