Rafizi hadir Sidang Kemuncak BRICS di Rusia

Oleh: Sholina Osman
22 OKT. 2024

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli
akan mengadakan Lawatan Kerja ke Kazan, Persekutuan Rusia pada 23 dan 24 Oktober 2024 untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus.

Rafizi berkata, lawatan ini turut disertai oleh pegawai kanan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Luar Negeri, menegaskan komitmen teguh Malaysia untuk memupuk kerjasama dan dialog global.

“Sidang kemuncak ini bertemakan ‘BRICS dan Selatan Global: Bersama-sama Membangun Dunia yang Lebih Baik’ dan diadakan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, ia akan menghimpunkan Ketua Negara dan Kerajaan serta Menteri-Menteri daripada sembilan Negara Anggota BRICS, bersama wakil-wakil dari 20 negara jemputan bukan BRICS.

“Semasa persidangan ini, saya dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada 24 Oktober 2024,” katanya.

Rafizi menjelaskan, Kenyataan tersebut akan menekankan isu-isu kritikal untuk Selatan Global, termasuk pembangunan mampan, pembaharuan sistem tadbir urus global, dan situasi geopolitik yang sedang berkembang di Timur Tengah.

Katanya, Lawatan Kerja ini juga akan merangkumi pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara jemputan lain di sela-sela persidangan.

Melalui penglibatan aktif dalam Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus ini, katanya, Malaysia mengukuhkan komitmen untuk memperdalam hubungan dengan negara-negara BRICS dan menghadapi landskap ekonomi global yang kompleks dengan penuh ketahanan.

Tambahnya, Lawatan ini juga menyediakan platform strategik bukan sahaja untuk meneroka potensi peranan Malaysia dalam BRICS, tetapi juga untuk memperjuangkan kerjasama ekonomi, memupuk kemakmuran, dan menggalakkan pembangunan inklusif bagi Selatan Global. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *