Warga kor perlu pamer nilai profesionalisme yang tinggi – Raja Perlis

Oleh: Sholina Osman
16 OKT. 2024

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya warga kor bertindak proaktif dengan sentiasa mempamerkan nilai profesionalisme yang tinggi dan bersedia bekerjasama dengan agensi lain untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, Baginda merangkap Tuanku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Renjer Diraja (RRD) berharap agar semangat juang berlandaskan prinsip dan kesedaran mempertahankan kedaulatan negara terus dijulang di kalangan generasi kini mahu pun akan datang.

“Budaya mementingkan diri, ego dengan kedudukan dan menunggu arahan harus dielakkan,” titah Baginda.

PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap usaha pembangunan sumber manusia merangkumi kepimpinan, pengetahuan dan kemahiran wajar diberi fokus oleh pihak pengurusan tertinggi.

“Pihak kepimpinan kor hendaklah mengambil pendekatan dengan penuh iltizam bagi menyediakan pelan reformasi terhadap penyediaan warga kor yang mampu mengadaptasi keperluan melaksanakan tugas iaitu “fit for purpose”.

Titah Baginda, ia bermula dari proses pemilihan, latihan mahupun perkembangan kerjaya, penekanan haruslah berasaskan kepada “know why” dan “know how”.

TERUS BERDIRI MEGAH

“Beta yakin dan percaya hasrat kor ini untuk terus berdiri megah sebagai satu elemen tempur di bawah kerangka Angkatan Masa Hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus dapat menjadi kenyataan,” tegas Baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian semasa berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama dan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja di 4 RRD, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer, Arau, Perlis.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Mejar (K) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

DULI-DULI TUANKU

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri, Pengerusi Rejimen Renjer Diraja (RRD), Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Fazal Abdul Rahman.

Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen 1 RRD (Istiadat) dan 2 RRD melibatkan Batalion Pertama (Istiadat) dan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada 31 orang pegawai dan 378 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Salrafeehasleizad Salih dan Pegawai Memerintah, Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Ahmad Faizal Abdul Latif.

Panji-Panji dianggap sebagai simbol semangat dan tradisi rejimen atau pasukan yang membawanya, penganugerahan atau pertukaran Panji-Panji Rejimen merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan bersejarah kepada pasukan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *