Oleh: Sholina Osman
16 OKT. 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempelawa Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyertai ‘Technology Innovation Support Centre’ (TISC) sebagai organisasi (host institution) ke-26.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program TISC merupakan pusat setempat yang dibangunkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) bagi pereka cipta dari negara- negara anggota termasuklah Malaysia untuk mendapatkan akses kepada informasi teknologi dan penyelidikan terkini serta maklumat berkaitan perlindungan dan pengurusan hak harta intelek.
“Penyertaan MARDI di dalam TISC ini akan berupaya membantu MARDI dengan lebih menyeluruh dalam pengurusan harta intelek setaraf dengan institusi penyelaras yang lain di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.
KEPADA SUMBER PATEN
Armizan berkata, apabila MARDI berada di dalam TISC antaranya laluan mengakses secara dalam talian kepada sumber paten dan bukan paten (scientific and technical) dan penerbitan berkaitan harta intelek.
Selain itu katanya, boleh membantu dalam membuat carian dan mendapatkan maklumat mengenai teknologi; latihan dalam carian pangkalan data (database); carian atas permintaan (sesuatu yang baru, state-of-the-art) dan
pelanggaran.
Tambahnya, kelebihan lain pula boleh memantau teknologi dan pesaing-pesaing; dan mendapat maklumat asas mengenai undang-undang harta perindustrian, pengurusan dan strategi, dan pengkomersialan teknologi serta pemasaran.
Sementara itu, Armizan telah merasmikan Program AgroInvest MARDI yang julung kali diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Inovasi MARDI (HIM) 2024.
BAGI MEMPROMOSI INOVASI
Inisiatif ini merupakan platform bagi mempromosi inovasi, teknologi pertanian termasuklah produk makanan dan hasil intelek penyelidikan MARDI kepada para pemain industri dalam sektor pertanian dan agro makanan negara.
Armizan berkata, KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan terus memperkukuh kerjasama dengan MARDI khususnya berkaitan pengurusan harta intelek.
“Antara langkah yang telah diambil adalah melalui penganjuran Program IP Care dengan Pusat Pemindahan Teknologi & Pembangunan Usahawan (TE), MARDI melibatkan penyertaan 60 orang usahawan tempatan,” katanya.
BERMATLAMAT MEMBERI PEMAHAMAN
Beliau berkata, program ini bermatlamat memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai harta intelek kepada para usahawan di bawah bimbingan MARDI termasuk melindungi jenama dan inovasi produk yang dihasilkan.
Jelasnya, melalui Pusat Pemindahan Teknologi & Pembangunan Usahawan (TE), MARDI juga diberi mandat untuk menjalankan aktiviti mempromosi dan memindah teknologi yang dijana kepada usahawan industri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sekali gus membangunkan usahawan tekno dalam bidang industri asas tani, pertanian dan ternakan.
Tambahnya, program di bawah Pusat TE juga, berfokus untuk memberi khidmat sokongan teknikal dan bimbingan usahawan. – JM