ASA 2024 catat peningkatan 17% penyertaan dengan 1,860 pencalonan – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
16 OKT. 2024

Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 telah mencatat peningkatan sebanyak 17 peratus penyertaan apabila menerima 1,860 pencalonan berbanding hanya 1,585 pada ASA 2022.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penyertaan tersebut melibatkan tiga kategori iaitu 1,287 kategori TV, 515 kategori radio dan 58 kategori media baharu.

“Kini, senarai lima teratas bagi setiap kategori anugerah juga telah disenarai pendek hasil penilaian juri profesional yang dilantik,” katanya ketika berucap semasa melancarkan Kira Detik ASA 2024 yang bertemakan
‘Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan’ di Aloft Hotel, Kuala Lumpur Sentral.

SEBAGAI PEMBUKA TIRAI

Majlis ini dianjurkan sebagai pembuka tirai dan kira detik menuju ke Malam Kemuncak ASA 2024 yang akan berlangsung pada 26 Oktober 2024 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Fahmi berkata, sebanyak 60 kategori dipertandingkan dalam ASA 2024 yang merangkumi 40 kategori televisyen, 16 kategori radio dan empat kategori media baharu.

“Buat julung kalinya, ASA 2024 juga turut memperkenalkan satu kategori baharu di bawah media baharu iaitu Podcast Terbaik,” katanya.

Fahmi menambah, terdapat dua kategori khas tidak dipertandingkan iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.

Sementara itu, dalam kenyataan media Jawatankuasa Promosi dan Publisiti ASA 2024 menyebut pemenang bagi setiap 60 kategori yang dipertandingkan di ASA 2024 bakal menerima wang tunai berjumlah RM5,000 berserta trofi.

MENERIMA HADIAH TAMBAHAN

Bagi pemenang kategori Drama TV Terbaik dan Dokumentari TV Terbaik akan menerima hadiah tambahan berupa insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai hingga RM200,000.

Bagi penerima dua anugerah khas iaitu Anugerah Tokoh Seri Angkasa bakal menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan sebuah trofi.

Manakala penerima Anugerah Khas Juri akan menerima wang tunai berjumlah RM8,000 dan sebuah trofi.

Penganjuran ASA edisi ke-36 ini juga dimeriahkan lagi dengan penyertaan lima penaja utama,
iaitu Habib Jewels, DRB HICOM, Telekom Malaysia Berhad (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Roadcare (M) Sdn. Bhd. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *