KPDN pinda akta perkemas sijil halal luar negara JAKIM – Armizan

Oleh: Sholina Osman
18 OKT. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pindaan ke atas Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 berhubung penambahan senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan ini dilakukan bertujuan untuk mengemas kini senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM dalam Jadual Kedua, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Beliau berkata, ini berikutan JAKIM telah mengiktiraf tambahan lima badan pensijilan halal luar negara pada tahun 2024, masing-masing satu dari negara Brazil, Mongolia dan Uruguay manakala dua adalah dari negara Rusia.

“Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM adalah sebanyak 88 pihak berautoriti merangkumi 49 buah negara di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan media.

MULA BERKUAT KUASA

Armizan berkata, Pindaan Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 telah diwartakan pada 4 Oktober 2024 dan mula berkuat kuasa pada 5 Oktober 2024.

Beliau berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan kes berkaitan halal bermula 1 Januari 2024 hingga 30 September 2024, sebanyak 53 kes telah dihasilkan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1.81 juta.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan penggunaan logo halal palsu, tidak menggunakan perakuan halal daripada pihak berkuasa berwibawa dan sebagainya,” katanya.

KPDN berharap agar semua pihak dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama berhubung isu halal ini.

MENGAMBIL TINDAKAN TEGAS

Kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak yang berkaitan dan boleh didenda sebagaimana berikut:

Syarikat: didenda tidak melebihi RM200,000.00. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.00.
Individu: didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

KPDN juga berharap agar dengan pewartaan pindaan ini dapat memperkasakan perundangan dan industri halal negara selain melindungi kepentingan pengguna terutama yang beragama Islam. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *