Oleh: Sholina Osman
15 OKT. 2024
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap Perlis dapat melahirkan tenaga kerja mahir di dalam bidang mangga harumanis yang mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Beliau berkata, dengan kemahiran ini akan membolehkan mereka untuk menyumbang kembali dalam produktiviti pengeluaran mangga harumanis yang berkualiti.
“Kita sedia maklum bahawa mangga harumanis mempunyai potensi besar bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi juga di pasaran antarabangsa,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi.
Nor Sam telah merasmikan Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di Dewan 2020 di Kangar.
MEMENUHI PERMINTAAN DOMESTIK
Mohamad berkata, strategi pemasaran yang lebih agresif juga perlu dirangka agar produk ini bukan sahaja mampu memenuhi permintaan domestik tetapi juga dapat menembusi pasaran luar negara dengan lebih berkesan.
“Saya menyeru para usahawan dan pemain industri untuk memanfaatkan program-program promosi dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan dalam memperkukuh jenama mangga harumanis di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, aspek kelestarian alam sekitar dan pertanian mampan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan sumber semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Amalan Pertanian Baik dan Persijilan myGAP perlu dimiliki oleh setiap ladang bagi memastikan keluaran hasil
tanaman yang berkualiti dan selamat dimakan,” katanya.
PENGGUNAAN BAHAN KIMIA
Mohamad berkata, usaha ini dapat mengurangkan penggunaan bahan kimia dan mengamalkan pertanian organik perlu diperkasa demi menjaga kesejahteraan ekosistem dan kesihatan pengguna.
Sempena persidangan ini, terdapat 15 kertas kerja dibentangkan di mana dua daripadanya adalah dari penyelidik Indonesia.
13 lagi kertas pembentangan dari pelbagai agensi kerajaan, penyelidikan dan swasta bagi memberi maklumat dan perkongsian ilmu.
Sebanyak 501 orang yang terdiri dari pengusaha harumanis, penyelidik serta wakil dari agensi berkaitan dari seluruh negara menyertai persidangan selama dua hari pada 15 Oktober dan 16 Oktober 2024. – JM