Oleh: Sholina Osman
15 OKT. 2024
Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya merampas 263 karton rokok seludup yang bernilai RM10,527.85 di sebuah premis di Jalan Besar, Felda Gunung Besout 1, Sungkai, Perak.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, ia melibatkan
melibatkan jumlah cukai sebanyak RM31,904.49.
Ismail berkata, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis yang mendapat maklumat telah melakukan serbuan ke premis berkenaan pada pukul lebih kurang 11.15 pagi, pada 9 September 2024.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis ini menjual 23 pelbagai jenama rokok seludup di mana 18 daripadanya tiada setem cukai dan selebihnya menggunakan setem cukai palsu,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri Perlis di Kangar.
DILETAKKAN PADA KAUNTER
Ismail berkata, semasa serbuan itu pasukan berkenaan mendapati rokok ini juga diletakkan pada kaunter pada bahagian atas dan juga bawah.
Tambahnya, terdapat sebuah bilik di bangunan premis berkenaan dipercayai digunakan sebagai tempat untuk disembunyikan rokok yang tidak membayar cukai kastam ini.
“Rokok putih dan kretek yang dijual secara terbuka di premis berkenaan cuma berharga RM10 ke bawah bagi pasaran penduduk Felda dan orang Indonesia,” katanya.
Antara kejayaan lain JKDM Perlis katanya, pada pukul lebih kurang 3 petang pada 12 September 2024 apabila sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah stor yang tidak berkunci di Jalan Perusahaan 7, Kawasan Perindustrian Kemunting, Daerah Larut dan Matang, Perak.
SEJUMLAH MINUMAN KERAS
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah minuman keras yang disyaki tak berkastam,” katanya.
“Kesemua minuman keras yang disyaki tidak berkastam tersebut berjumlah 752.40 liter @ 2,280 tin yang dianggarkan bernilai RM7,600.00 dan melibatkan cukai sebanyak RM12,140.05,” katanya.
Ismail berkata, stor yang tidak berpenghuni telah digunakan sebagai tempat penyimpanan barang-barang yang tak berkastam atau transit sebelum datang mengambilnya.
Ismail berkata, pihaknya juga telah menyita tiga kereta kerana berada di Kawasan Utama Kastam (KUK) melebihi 90 hari tanpa kebenaran.
Beliau berkata, ia melibatkan kereta Mazda 2.0 Sedan SKYACTIV, Toyota Camry dan Porsche 982 Cayman GT4 RS. – JM