Oleh: Sholina Osman
14 OKT. 2024
Satu perkara yang biasa akan berlaku banjir semasa air laut pasang kepada mereka yang tinggal berhampiran pantai.
Bagaimananpun dengan jadual air pasang tinggi yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis kali ini perlu diambil perhatian lebih serius oleh semua khususnya pada lokasi yang telah diletakkan sebagai berisiko tinggi.
Mengikut jadual ini air pasang tinggi akan bermula 16 Oktober 2024 sehingga 22 Oktober 2024.
Berdasarkan jadual ini juga, air pasang tinggi itu akan berlaku antara tiga hingga empat kali dalam sehari.
Malah paras air ini dijangka dari serendah 0.4 meter hingga 3.6 meter.
DIKENAL PASTI BERISIKO
Antara lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi adalah beberapa kampung di Kampung Warna Warni di Kuala Perlis iaitu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung dan Kampung Seberang Tok Pi.
Berikutan itu Wartawan Jendela MADANI mengambil kesempatan membuat tinjauan sejauh mana persediaan penduduk di kampung nelayan ini bagi menghadapi fenomena alam ini.
Bagi Rosnah Hamid, 85, air pasang yang berlaku secara pantas pada 18 September 2024 juga agak mengejutkan.
Beliau yang tinggal di Kampung Tengah, Kuala Perlis ini mengakui “penat” dengan air pasang ini kerana biasanya datangnya membawa kerosakan kepada peralatan di dalam rumah iaitu perabot kayu dan barangan elektrik.
“Di rumah ini pula saya tinggal bersama dua anak dan seorang cucu yang kesemuaya perempuan yang pastinya tak mampu mengalihkan segala perabot dan peralatan elektrik khususnya peti sejuk dan mesin basuh jika datang air pasang secara mengejut,” katanya.
MENGAMBIL KEPUTUSAN “BERPINDAH”
Atas sebab itu, dengan makluman oleh pihak JPS ini beliau anak beranak mengambil keputusan “berpindah” sementara ke rumah anaknya di Kangar.
Beliau akui terpaksa tinggalkan rumahnya kerana air pasang ini biasanya akan masuk ke dalam bilik air sekaligus menyukarkan untuk menggunakan tandas.
Seperti jirannya yang lain, beliau juga membuat binaan lebih tinggi bagi meletakkan peti ais dan mesin basuh supaya banjir kali ini merosakkan peralatan elektrik seperti sebelum ini.
Manakala Rosliah Hamid, 76 sudah mula meletakkan almari kayu, peti ais dan mesin basuh di atas binaan simen yang lebih tinggi.
LOTENG UNTUK SEKELUARGA
Beliau pula tidak bercadang untuk berpindah kerana rumah berkenaan mempunyai loteng untuk sekeluarga berlindung.
Rosliah berkata, dia juga mula menyimpan pakaian dengan meletakkan di tempat lebih tinggi.
Halizan Ariffin, 61, sudahpun bersiap sedia dengan membuat binaan simen yang lebih tinggi terutamanya tempat peti sejuk dan mesin basuh.
Tambahnya, beberapa peralatan perabot seperti meja TV dan pakaian juga dilapik dengan batu-bata yang selamat dari dari ditenggelami dengan air pasang.
Beliau juga seperti jirannya di mana membuat binaan lebih tinggi bagi meletakkan pam air kerana air pasang pada 18 September 2024 telah menyebabkan ia rosak. – JM